KUALA LUMPUR 5 Feb – Bina Darulaman Berhad (BDB) mengumumkan peletakan jawatan Datuk Wira Ishak Murat sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif yang berkuat kuasa pada 3 Februari 2026.
Kumpulan tersebut memaklumkan, pengunduran tersebut dibuat susulan kontrak beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) berakhir pada 31 Disember 2025.
Justeru, beliau yang berusia 63 tahun itu, menyatakan hasrat untuk turut berundur daripada Lembaga Pengarah syarikat tersebut melalui surat peletakan jawatan secara rasmi bertarikh 3 Februari 2026.
"BDB mengesahkan tidak ada sebarang perselisihan faham antara beliau dengan Lembaga Pengarah, dan tiada isu material yang perlu dibawa kepada pemegang saham," jelasnya kepada Bursa Malaysia.
Ishak jelasnya, mula dilantik sebagai Pengarah kumpulan itu pada 1 Oktober 2023, dan sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memegang beberapa jawatan penting dalam jawatankuasa lembaga.
Antaranya tambah BDB, termasuk sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Lembaga, selain menjadi ahli Jawatankuasa Audit serta Jawatankuasa Pencalonan, Ganjaran dan Skim Opsyen Saham Pekerja.
Beliau memiliki pengalaman lebih 35 tahun dalam perkhidmatan awam negeri wilayah utara itu, termasuk pernah memegang jawatan kanan sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda dan Daerah Langkawi.
"Selain itu, beliau pernah menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) dan Pegawai Kewangan Negeri dari 2018 hingga 2023," kata BDB.
Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya itu juga dilantik sebagai Pengarah dalam pelbagai syarikat di negeri tersebut antaranya Kedah Medical Centre Sdn Bhd.
Di samping itu, Ishak menyertai Lembaga Pengarah di Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd, PKNK Hotels Sdn Bhd, Kumpulan Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd, dan KXP Airportcity Holdings Sdn Bhd.
BDB turut memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan, konflik kepentingan atau kepentingan dalam sekuriti syarikat atau anak syarikatnya. - DagangNews.com








