KUALA LUMPUR 14 April – ISF Group Bhd meraih empat subkontrak perkhidmatan sistem air dan paip sanitari dengan nilai keseluruhan RM22.48 juta.
Kontrak tersebut diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Yeo Plumber Sdn Bhd, melibatkan skop kerja pembekalan, pemasangan, pengujian serta penyelenggaraan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, dua daripada subkontrak itu masing-masing bernilai RM11.95 juta dan RM1.85 juta.
Kedua-dua projek berkenaan melibatkan pembangunan apartmen servis yang merangkumi sebuah hospital swasta dan telah dianugerahkan oleh CITIC Construction (M) Sdn Bhd.
Salah satu kontrak tersebut dijadualkan siap pada 21 Ogos 2028, manakala satu lagi ditetapkan untuk disiapkan pada 21 Mei 2027.
Sementara itu, satu lagi subkontrak bernilai RM5.7 juta melibatkan projek apartmen servis yang dianugerahkan oleh Pamir Development Sdn Bhd.
Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 21 Disember 2028.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat turut memperoleh subkontrak bernilai RM2.98 juta bagi kerja sistem air dan paip sanitari untuk sebuah pusat data.
Kontrak itu diberikan oleh sebuah syarikat yang terlibat dalam sektor pembinaan, pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah, namun identitinya tidak didedahkan berikutan obligasi kerahsiaan dalam perjanjian.
Subkontrak tersebut dijangka siap pada 31 Disember 2026 dan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek. - DagangNews.com








