ISF Group peroleh kontrak kerja paip, sanitari bernilai RM10 juta daripada Kerjaya Prospek | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ISF Group peroleh kontrak kerja paip, sanitari bernilai RM10 juta daripada Kerjaya Prospek

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb – ISF Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Yeo Plumber Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM10 juta daripada Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd bagi melaksanakan kerja-kerja perkhidmatan paip air dan sistem paip sanitari untuk projek pangsapuri servis termasuk lot komersial.

 

Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd merupakan anak syarikat kepada Kerjaya Prospek Group Berhad yang terlibat dalam pembangunan hartanah dan pembinaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ISF berkata kontrak tersebut dijadualkan siap sepenuhnya pada 15 Mac 2029, sekali gus menyediakan aliran kerja jangka sederhana kepada kumpulan itu.

 

Pengarah Urusan ISF Group, Jeff Ai Boon Chen berkata penganugerahan kontrak berkenaan menandakan permulaan yang positif buat kumpulan itu selepas penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia baru-baru ini.

 

“Kontrak itu mencerminkan tahap keyakinan pelanggan terhadap kepakaran teknikal serta keupayaan pelaksanaan projek ISF, khususnya dalam segmen sistem paip dan sanitari bagi pembangunan kediaman bertingkat.

 

“Landskap pembangunan di Malaysia kekal kondusif, disokong penekanan kerajaan di bawah Belanjawan 2026 terhadap projek perindustrian, pusat data, infrastruktur dan perumahan.

 

“Ia dijangka mewujudkan permintaan berterusan terhadap sistem perkhidmatan paip yang berkualiti, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada Kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

ISF juga berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan kitaran pembangunan semasa berikutan portfolio projeknya yang pelbagai merangkumi sektor perindustrian, pusat data, kediaman, komersial serta infrastruktur.

 

Setakat 9 Disember 2025, kumpulan itu merekodkan buku tempahan belum dibilkan sebanyak RM120.68 juta dengan RM117.47 juta melibatkan projek paip premis pengguna akhir manakala baki RM3.21 juta terdiri daripada projek paip infrastruktur.

 

Buku tempahan tersebut dijangka memberikan keterlihatan pendapatan kepada ISF sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2028, selari dengan strategi kumpulan untuk melaksanakan projek berskala lebih besar dan kompleks susulan pengukuhan modal daripada penyenaraian awamnya. - DagangNews.com