KUALA LUMPUR 26 Jan – ISF Group Berhad mencatatkan prestasi kewangan kukuh bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025 dengan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM18.52 juta.
Penyedia rumusan perpaipan menyeluruh itu berkata, pencapaian tersebut menyaksikan kumpulan berjaya mengatasi prestasi PAT sepanjang tahun kewangan 2024 (FY24) yang berjumlah RM9.64 juta.
Tambahnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, perolehan bagi 9MFY25 sebanyak RM73.98 juta itu turut melepasi keseluruhan perolehan kumpulan berkenaan pada FY24 yang hanya RM54.67 juta.
"Bagi suku ketiga yang berakhir 30 September 2025, ISF merekodkan PAT sebanyak RM5.02 juta atas perolehan RM23.99 juta, dengan margin keuntungan kasar (GP) berada pada tahap 41.61%," katanya.
Pengarah Urusannya, Jeff Ai Boon Chen berkata, momentum pertumbuhan ini mencerminkan permintaan kian meningkat dalam segmen pengguna akhir dan mengukuhkan model perniagaan syarikat tersebut.
Kumpulan berkenaan akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Januari 2026, dengan terbitan tawaran harga permulaan (IPO) 33 sen sesaham melibatkan peruntukan 1.0 bilion saham.
"Kami melihat diri kami sebagai rakan kongsi penting dalam menyokong pembangunan infrastruktur Malaysia, berdasarkan unjuran pertumbuhan industri pembinaan sebanyak 6.1% pada 2026," katanya.
Boon Chen optimis terdapat banyak peluang besar terutamanya dalam projek perumahan mampu milik seperti Projek Residensi Rakyat (PRR) serta infrastruktur digital seperti pusat data (DC).
Setakat 9 Disember 2025, ISF memiliki buku tempahan belum dibilkan sebanyak RM120.68 juta, dan daripada jumlah itu, RM117.47 juta adalah berkaitan projek perpaipan premis pengguna akhir.
Sementara baki RM3.21 juta lagu jelas beliau, melibatkan sistem perpaipan infrastruktur, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan tersebut sehingga tahun kewangan 2028.
Syarikat yang berpangkalan di Johor ini terlibat dalam pembekalan dan pemasangan sistem perpaipan untuk pelbagai sektor termasuk industri, DC, kediaman, hospitaliti, dan infrastruktur. - DagangNews.com








