KUALA LUMPUR 24 Sept - Ireka Corporation Bhd (ICB) telah gagal membayar balik pinjaman berjumlah kira-kira RM1.04 juta kepada Hong Leong Bank Bhd (HLBB) dan AmBank (M) Bhd, dalam kapasiti sebagai penjamin korporat bagi kemudahan kredit yang sebelum ini diberikan kepada anak syarikatnya yang kini telah digulung, Ireka Engineering & Construction Sdn Bhd (IECSB).
Kegagalan tersebut melibatkan hutang sebanyak RM675,000 kepada HLBB di bawah kemudahan overdraf kontrak/tuntutan kemajuan, serta RM364,962.88 kepada AmBank di bawah kemudahan overdraf kredit pusingan, menurut makluman syarikat itu kepada Bursa Malaysia.
ICB menjelaskan kegagalan semasa berpunca daripada perjanjian penyelesaian yang dimeterai selepas penggulungan IECSB, di mana pihak pembiaya sebelum ini telah memulakan prosiding penggulungan terhadap syarikat.
Prosiding itu ditarik balik selepas penyelesaian sebahagian hutang, namun tunggakan masih kekal.
HLBB telah mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 18 Sept, dengan menyatakan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula hutang sekiranya bayaran tidak dibuat.
AmBank pula belum mengeluarkan tuntutan atau menunjukkan hasrat untuk memfailkan semula petisyen penggulungan.
“Syarikat sedang giat mengadakan rundingan berterusan dengan pihak pembiaya bagi mencari penyelesaian yang boleh diterima bersama,” kata Ireka sambil menambah, ia juga sedang melaksanakan langkah pelupusan aset untuk menstrukturkan semula tunggakan.
Walaupun mengakui kesan buruk terhadap aliran tunai jangka pendek, kumpulan itu menegaskan ia kekal berdaya maju dan menjangkakan mampu memenuhi obligasinya dalam tempoh 12 bulan akan datang. - DagangNews.com








