IPO Teamstar terlebih langgan 4.2 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Teamstar terlebih langgan 4.2 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Feb – Tawaran awam permulaan (IPO) Teamstar Berhad  yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia terlebih langgan sebanyak 4.2 kali. 

 

Bagi kategori orang awam Malaysia, sebanyak 3,600 permohonan diterima untuk 208 juta saham IPO bernilai kira-kira RM54 juta, melebihi jumlah saham yang ditawarkan sebanyak 40 juta.

 

Daripada jumlah itu, 20 juta saham diperuntukkan untuk Bumiputera Malaysia dan baki 20 juta untuk kategori awam lain. 

 

Bagi Bumiputera Malaysia, 1,880 permohonan diterima untuk 84 juta saham, dengan kadar terlebih langgan 3.2 kali, manakala bagi kategori awam lain, 1,720 permohonan diterima untuk 124 juta saham, mewakili kadar terlebih langganan 5.2 kali.

 

Bagi golongan yang layak, kesemua 16 juta saham yang diperuntukkan telah dilanggan sepenuhnya. 

 

Sementara itu, bagi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, 48 juta saham juga habis dilanggan sepenuhnya. 

 

Bagi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, sebanyak 52 juta saham dilanggan, manakala baki 48 juta saham yang diperuntukkan juga telah ditempatkan sepenuhnya melalui proses clawback dan peruntukan semula.

 

Bagi penempatan persendirian, sebanyak 100 juta saham telah diagihkan kepada 430 pelabur. 

 

Pelabur teratas menerima kira-kira 10 juta saham, manakala 25 pelabur teratas secara keseluruhan memegang kira-kira 60 juta saham, bersamaan 7.5 peratus daripada jumlah saham beredar selepas IPO.

 

Tiada pelabur persendirian menjadi pemegang saham besar Teamstar selepas IPO ini.

 

Kumpulan peruncitan dan perdagangan kelengkapan perabot, perkakasan, peralatan dapur dan rumah, serta perkhidmatan nilai tambah itu, menyasarkan untuk dapat mengumpul hasil kasar RM34.32 juta.

 

Hasil IPO tersebut kata Teamstar, akan digunakan terutamanya bagi aktiviti pengembangan rangkaian perniagaan, dengan RM23.21 juta diperuntukkan untuk penubuhan cawangan runcit dan gudang baharu.

 

Lebihan daripada dana berkenaan akan dimanfaatkan untuk keperluan modal kerja, pembayaran balik pinjaman serta kos penyenaraian saham syarikat itu di Bursa Malaysia.

 

Teamstar pada ketika ini mengendalikan 29 cawangan runcit di seluruh Semenanjung Malaysia dan memasarkan lebih 27,800 unit stok produk, termasuk 11 jenama dalaman berdaftar. - DagangNews.com