KUALA LUMPUR 17 Okt – Tawaran Awam Permulaan (IPO) Powertechnic Group Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia terlebih langgan sebanyak 46.35 kali, mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap prospek pertumbuhan dan asas perniagaannya.
IPO Powertechnic melibatkan terbitan awam sebanyak 63 juta saham biasa baharu dan tawaran penjualan 21 juta saham biasa sedia ada dalam Powertechnic.
Kumpulan itu menerima sebanyak 10,392 permohonan untuk 738,635,300 saham terbitan awam daripada orang awam Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 46.35 kali.
Di bawah bahagian awam Bumiputera, 5,310 permohonan diterima untuk 355,982,900 saham terbitan awam dengan kadar lebihan langganan sebanyak 44.64 kali.
Sementara itu, di bawah bahagian awam Malaysia yang lain,sebanyak 5,082 permohonan diterima untuk 382,652,400 saham terbitan awam, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 48.06 kali.
ARTIKEL BERKAITAN: Powertechnic sasar RM22.05 juta melalui IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia
Pengarah Urusan Powertechnic, Ivan Na Keh Chai berkata, sambutan pelabur terhadap IPO itu menunjukkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat dan prospek pertumbuhannya.
Menurutnya, sokongan padu pelabur membuktikan pengiktirafan pasaran terhadap komitmen syarikat dalam menyediakan perkhidmatan platform bertingkat, kren dan lif yang cekap dan berkualiti.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Powertechnic, Choo Chee Yong pula menyifatkan minat tinggi terhadap IPO tersebut sebagai bukti kukuh terhadap asas perniagaan syarikat serta visinya untuk pertumbuhan jangka panjang.
Beliau berkata, sebagai syarikat tersenarai awam, Powertechnic akan memberi tumpuan untuk meningkatkan keupayaan, memperkukuh kepakaran kejuruteraan dan membuka peluang pertumbuhan strategik baharu bagi memberi nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan.
Powertechnic dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 28 Oktober 2025.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO ini.
Powertechnic ialah pakar dalam sistem platform bertingkat dengan lebih 23 tahun pengalaman industri, menawarkan penyelesaian menyeluruh merangkumi reka bentuk kejuruteraan, fabrikasi, pemasangan, pentauliahan, penyelenggaraan dan pembaikan sistem kren dan lif.
Beribu pejabat di Johor, syarikat ini beroperasi di seluruh Malaysia dan Singapura dengan jenama “Powertechnic” sendiri, disokong oleh pasukan kejuruteraan dalaman yang kukuh dan pengurusan berpengalaman. - DagangNews.com








