IPO Manforce pada 38 sen sesaham dinilai wajar, tiada potensi kenaikan segera susulan jangkaan penurunan pendapatan pada FY26 – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Manforce pada 38 sen sesaham dinilai wajar, tiada potensi kenaikan segera susulan jangkaan penurunan pendapatan pada FY26 – TA Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 April – Harga tawaran awam permulaan (IPO) Manforce Group Berhad yang ditetapkan pada 38 sen sesaham adalah nilai wajar berdasarkan penilaian syarikat dan unjuran pendapatan Kumpulan, kata TA Securities.

 

Menurut firma penyelidikan itu, saham syarikat berkenaan yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia wajar dinilai pada 38 sen sesaham, iaitu sama seperti harga IPO yang ditetapkan, menunjukkan tiada potensi kenaikan segera selepas penyenaraian.

 

“Walaupun tiada pesaing Manforce di Bursa Malaysia, syarikat setara di Singapura dan Jepun didagangkan pada purata 12 kali pendapatan 2027, yang lebih rendah berbanding penilaian IPO Manforce.

 

“Dalam unjuran kami, pendapatan Manforce yang menyediakan perkhidmatan pengurusan pekerja asing dijangka susut sekitar 4 peratus pada tahun ini sebelum kembali mencatat pertumbuhan semula pada 2027,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.

 

Permohonan IPO syarikat itu akan ditutup pada 21 April, dengan penyenaraian di Pasaran ACE dijadualkan berlangsung pada 6 Mei 2026.

 

Manforce merupakan syarikat pengurusan tenaga kerja yang memberi tumpuan kepada pengambilan dan pengurusan pekerja asing, selain turut menawarkan perkhidmatan pembersihan projek. Syarikat itu sebelum ini pernah disenaraikan di Pasaran LEAP.

 

Selepas penyenaraian, Manforce dijangka mempunyai permodalan pasaran sekitar RM152 juta. Pada harga IPO, syarikat itu dinilai pada kira-kira 15 kali pendapatan 12 bulan terkini.

 

TA Securities menjelaskan, sekatan kerajaan terhadap kemasukan pekerja asing baharu sejak Mei 2024 telah mengehadkan pertumbuhan bilangan pekerja di bawah pengurusan syarikat serta pendapatan berkaitan levi.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan pemulihan pada 2027 hingga 2028 disokong oleh keputusan kerajaan Malaysia yang memansuhkan tarikh akhir permohonan kuota pekerja asing pada Mac 2026.

 

Menurutnya lagi, prospek pertumbuhan tenaga kerja di bawah pengurusan syarikat dilihat semakin kukuh apabila Manforce telah membantu pelanggan mengemukakan sebanyak 5,260 permohonan kuota pengambilan pekerja.

 

IPO berkenaan dijangka mengumpul dana sebanyak RM30.4 juta untuk keperluan operasi dan pengembangan perniagaan, berdasarkan prospektus syarikat.

 

Selain itu, tawaran jualan saham sedia ada akan menjana tambahan RM7.6 juta yang akan disalurkan kepada Pengarah Urusan syarikat, Datuk Wong Boon Ming.

 

Daripada hasil IPO tersebut, sebanyak RM14.74 juta diperuntukkan untuk memperluaskan operasi kumpulan termasuk peningkatan kuota pengambilan pekerja, manakala baki selebihnya digunakan bagi naik taraf sistem IT dan operasi, modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian.

 

M&A Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd merupakan penasihat kewangan bagi penyenaraian berkenaan. - DagangNews.com