KUALA LUMPUR 3 Nov — Tawaran awam permulaan (IPO) Farmiera Berhad yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia terlebih langgan sebanyak 16.69 kali.
Kumpulan itu menerima sejumlah 6,554 permohonan bagi 397,986,000 saham terbitan mewakili kadar lebihan langgan keseluruhan sebanyak 16.69 kali.
Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 2,835 permohonan diterima bagi 108,585,200 saham, mencatat kadar terlebih langganan 8.65 kali.
Bahagian awam pula menerima 3,719 permohonan bagi 289,400,800 saham, mewakili kadar langganan 24.72 kali.
Selain itu, 9 juta saham yang diperuntukkan kepada pengurusan kanan, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan Kumpulan turut dilanggan sepenuhnya.
Sementara itu, bahagian penempatan persendirian juga mencatat kejayaan, dengan 29.25 juta saham dilanggan sepenuhnya.
Selain itu, 56.25 juta saham terbitan bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI turut dilanggan sepenuhnya selepas mengambil kira peruntukan semula yang relevan.
Notis peruntukan saham akan diposkan kepada semua pemohon berjaya pada 10 November 2025.
Malacca Securities Sdn Bhd berperanan sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin dan Ejen Penempatan bagi IPO ini.
IPO Farmiera ditetapkan pada harga RM0.25 sesaham, dibayar penuh semasa permohonan dan melibatkan penerbitan 117 juta saham baru termasuk bahagian awam, pekerja, pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera. - DagangNews.com








