KUALA LUMPUR 29 Jan – Tawaran awam permulaan (IPO) Ambest Group Berhad yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menarik minat pelabur tempatan apabila sahamnya terlebih langgan sebanyak 46.07 kali.
Sebanyak 8,084 permohonan telah diterima daripada orang awam untuk 1.2 bilion saham dengan nilai berjumlah lebih RM300 juta.
Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 4,138 permohonan diterima untuk 365 juta saham, mencatatkan kadar terlebih langgan 27.66 kali manakala bahagian awam menerima 3,946 permohonan untuk 835 juta saham, menjadikannya terlebih langgan 64.48 kali.
Sementara itu, 12.75 juta saham yang diperuntukkan kepada pelabur layak juga telah habis dilanggan, manakala penempatan persendirian kepada Bumiputera terpilih dan pelabur terpilih juga mencatatkan permintaan penuh.
Bagi pengagihan saham kepada pelabur awam Bumiputera, sebanyak 1,372 pemohon berjaya memperoleh saham, dengan jumlah saham berbeza bergantung pada saiz permohonan.
Lembaga Pengarah Ambest memaklumkan tiada pelabur yang akan menjadi pemegang saham utama selepas IPO ini, menunjukkan bahawa pegangan saham syarikat kekal dalam kalangan pelabur awam dan terpilih.
Kumpulan penyedia sokongan kejuruteraan industri semikonduktor itu menetapkan harga IPO pada 25 sen sesaham, dengan melibatkan terbitan secara keseluruhan yang berjumlah 110 juta saham baharu.
Ia berhasrat mengumpul hasil kasar kira-kira RM27.5 juta dan berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 510 juta saham, kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran sekitar RM127.5 juta.
Saham syarikat itu turut diklasifikasikan sebagai patuh Syariah dan boleh dibeli pelabur beragama Islam.
Sebahagian besar daripada hasil IPO, iaitu RM12 juta atau 43.6%, akan digunakan bagi bayaran balik pinjaman berkaitan pengambilalihan fasiliti di Bayan Lepas.
Selain itu, RM3.9 juta (14.2%) diperuntukkan untuk pembelian dua mesin baharu berteknologi tinggi, termasuk mesin CNC lima paksi, yang meningkatkan kapasiti operasi tahunan sekitar 4%.
Ambest turut merancang untuk memperluaskan fasiliti dengan menambah satu tingkat baharu dan membina bilik bersih tambahan bagi menyokong pertumbuhan secara jangka panjang.
Sementara sejumlah RM6.8 juta (24.7%) akan digunakan oleh kumpulan itu sebagai modal kerja, manakala RM4.8 juta (17.5%) diperuntukkan bagi menampung perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com








