IOI Properties rancang penyenaraian REIT bernilai RM7.58 bilion di Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IOI Properties rancang penyenaraian REIT bernilai RM7.58 bilion di Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 April – IOI Properties Group Bhd merancang untuk menubuhkan dan menyenaraikan sebuah amanah pelaburan hartanah (REIT) yang merangkumi aset runcit, pejabat dan hotel bernilai keseluruhan RM7.58 bilion.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu menggariskan rancangan untuk menyuntik portfolio hartanah di Malaysia termasuk IOI City Mall dan IOI City Park ke dalam amanah yang dicadangkan, iaitu IOIPG Malaysia REIT (IOIPG REIT) yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan saiz dana permulaan sebanyak 5.5 bilion unit.

 

Pada 26 Ogos tahun lalu, kumpulan itu mengumumkan penubuhan anak syarikat, IOIPG REIT Management Sdn Bhd untuk bertindak sebagai syarikat pengurusan bagi REIT yang dicadangkan.

 

IOI Properties berkata pelaksanaan cadangan itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2026, tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta pemegang saham.

 

Ia akan distrukturkan di bawah satu surat ikatan amanah yang difailkan kepada SC dan akan melabur terutamanya dalam hartanah penjana pendapatan di Malaysia merangkumi segmen runcit, komersial, pejabat dan hospitaliti, selain aset lain yang dibenarkan di bawah garis panduan REIT, kata kumpulan itu.

 

Kumpulan itu berkata suntikan aset runcit, pejabat dan hotel ke dalam REIT akan dipenuhi melalui penerbitan 5.5 bilion unit pada harga indikatif 90 sen seunit, serta bayaran tunai RM2.65 bilion.

 

Menurutnya, bahagian tunai RM2.65 bilion itu akan dibiayai melalui pinjaman yang diperoleh di peringkat REIT menerusi program nota jangka sederhana.

 

Selepas suntikan aset, IOIPG merancang untuk menawarkan sehingga 2.2 bilion unit atau 40% daripada REIT kepada pelabur melalui gabungan penempatan runcit dan institusi.

 

Tawaran itu berpotensi menjana kira-kira RM2 bilion berdasarkan harga indikatif 90 sen, manakala REIT tersebut juga akan menanggung hutang sebanyak RM2.65 bilion sebagai sebahagian daripada struktur suntikan aset.

 

Bahagian runcit merangkumi peruntukan kepada pemegang saham sedia ada, pekerja dan orang awam, termasuk bahagian Bumiputera. Bahagian institusi pula akan ditawarkan kepada pelabur terpilih, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI.

 


Harga unit akan ditentukan lebih hampir kepada tarikh penyenaraian melalui proses penetapan harga dalam kalangan pelabur institusi, dengan harga runcit akhirnya ditetapkan pada paras yang lebih rendah antara harga yang ditawarkan kepada pelabur runcit dan institusi.

 

Beberapa aset hotel akan dipajak semula kepada syarikat berkaitan IOI Properties di bawah perjanjian jangka panjang selepas transaksi dimuktamadkan.

 

Hasil daripada pelaksanaan ini akan disalurkan kepada IOI Properties dan dijangka digunakan untuk membayar balik pinjaman, membiayai pembangunan serta aktiviti pelaburan, selain menampung perbelanjaan berkaitan transaksi, kata kumpulan itu.

 

Maybank Investment Bank Bhd dan AmInvestment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global bersama, pengurus buku bersama, penaja jamin pengurusan bersama serta penaja jamin bersama bagi REIT yang dicadangkan. Sementara itu, DBS Bank Ltd ialah penyelaras global bersama dan pengurus buku bersama, manakala Knight Frank dilantik sebagai penilai hartanah bebas.

 

Pengurus, IOIPG REIT Management, mempunyai modal saham terbitan sebanyak RM1 juta. Antara pengarahnya ialah Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan IOI Properties, Datuk Lee Yeow Seng, dan Datuk Ong Eng Bin, yang juga menganggotai lembaga pengarah Paramount Corp Bhd.

 

MTrustee Bhd, sebuah syarikat amanah yang berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949, dicadangkan sebagai pemegang amanah, dengan Rockwills International Bhd sebagai syarikat induk utamanya. Henry Butcher Malaysia (Mont Kiara) Sdn Bhd pula dicadangkan sebagai pengurus hartanah bagi aset runcit dan pejabat.

 

Bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025, IOI Properties mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM708.84 juta berbanding RM94.78 juta setahun sebelumnya. Hasil meningkat kepada RM1.04 bilion daripada RM729 juta.

 

Saham IOI Properties meningkat 21 sen atau 6.14% kepada RM3.63 pada Jumaat, sekali gus menilai kumpulan itu hampir RM20 bilion. Sepanjang setahun lalu, saham tersebut telah meningkat sebanyak 108.9%. - DagangNews.com