KUALA LUMPUR 14 Mei – Xero, platform global pengurusan kewangan untuk perniagaan kecil, mengumumkan pelancaran integrasi baharu bersama Claude, iaitu pembantu kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh Anthropic.
Kerjasama ini membolehkan PKS Malaysia yang menggunakan Xero mengakses data kewangan mereka terus melalui Claude dan menghubungkan sistem kewangan dengan persekitaran kerja AI yang digunakan dalam operasi harian.
Menurut Xero, integrasi ini merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang syarikat untuk memperluaskan penggunaan kecerdasan kewangan berasaskan AI kepada perniagaan kecil di seluruh dunia.
“Melalui ciri baharu ini, PKS Malaysia boleh mengakses pandangan kewangan masa nyata seperti aliran tunai, status invois dan prestasi keuntungan melalui perbualan semula jadi dengan Claude, tanpa memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi.
“Pendekatan ini dilihat sebagai satu langkah ke arah merapatkan jurang keyakinan AI dalam kalangan PKS apabila teknologi kewangan yang sedia digunakan kini digabungkan dengan AI yang semakin menjadi sebahagian daripada aliran kerja harian,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan kata lain, pengguna tidak lagi perlu mempelajari AI sebagai kemahiran berasingan, sebaliknya boleh menggunakan AI melalui data perniagaan yang sudah mereka fahami dan gunakan setiap hari.
Claude akan menggunakan data langsung daripada Xero untuk menjana analisis kewangan dalam perbualan, tanpa pengguna perlu menukar platform atau menghasilkan laporan secara manual.
Xero berkata antara maklumat yang boleh diakses termasuk kedudukan aliran tunai semasa, invois tertunggak serta gambaran prestasi keuntungan perniagaan.
Pandangan yang dijana dalam Claude juga boleh dipautkan semula ke sistem Xero untuk tindakan lanjut seperti menyemak laporan penuh, rekod pelanggan atau butiran invois.
Xero menjelaskan pendekatan ini dibina berasaskan lebih 20 tahun inovasi serta digunakan oleh lebih 4.5 juta pelanggan di lebih 180 negara.
Dari sudut penggunaan, integrasi ini memberi fokus kepada beberapa aspek utama termasuk hasil dan keuntungan, pengurusan invois tertunggak serta kedudukan kewangan dan aliran tunai.
“Data kewangan yang dikongsi hanya digunakan dalam sesi tertentu pengguna selaras dengan komitmen penggunaan data yang bertanggungjawab.
“Langkah ini dilihat penting dalam memberikan keyakinan kepada pemilik perniagaan kecil yang mengurus data kewangan sensitif, terutama ketika penggunaan AI semakin meluas dalam sektor perniagaan,” katanya.
Claude merupakan platform AI daripada Anthropic, dan antara pesaing utama dalam ruang AI generatif global, sebaris dengan platform seperti ChatGPT dan Gemini.
Integrasi ini juga memperkukuh visi Xero untuk menjadikan platformnya boleh diakses “di mana sahaja pengguna bekerja”, termasuk dalam platform AI yang semakin menjadi sebahagian daripada rutin perniagaan moden.- DagangNews.com








