KUALA LUMPUR 1O April – Inspur dan Silverstreams memeterai perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM569 juta bagi pembangunan Pusat Data Silverstreams di Bagan Datuk, Perak dalam satu majlis pelancaran di MITEC hari ini.
Pelancaran majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, yang menyaksikan kerjasama strategik antara Inspur, Silverstreams dan Privasia Technology Berhad.
Kontrak bernilai RM569 juta itu melibatkan Inspur Cloud Information Technology Co. Ltd. bersama Silverstreams, iaitu subsidiari kepada Privasia.
Dalam satu kenyataan bersama, Inspur dan Silverstreams berkata pelancaran ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya menandakan projek tersebut kini telah memasuki fasa pelaksanaan dengan kerja-kerja awal pembangunan telah pun bermula di tapak projek di Bagan Datuk.
Peralihan ke fasa pelaksanaan itu turut diperkukuh dengan pengeluaran surat tawaran oleh Silverstreams kepada anak syarikat Privasia iaitu Privasia Sdn. Bhd. dan Privasat Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan komponen utama infrastruktur pusat data.
Skop projek melibatkan pembangunan ekosistem digital menyeluruh termasuk perkhidmatan penempatan bersama, infrastruktur sebagai perkhidmatan (IaaS) dan perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) bagi memenuhi keperluan pelanggan perniagaan serta sektor kerajaan.
Selain itu, projek ini turut merangkumi penubuhan pusat operasi rangkaian dan pusat operasi keselamatan yang beroperasi 24 jam sehari bagi memastikan pemantauan rangkaian dan keselamatan siber berada pada tahap optimum.

Dari aspek infrastruktur telekomunikasi, pusat data berkenaan akan dilengkapi rangkaian berkapasiti tinggi dan berdaya tahan, disokong perjanjian tahap perkhidmatan pelbagai peringkat bagi memastikan kestabilan operasi.
Pusat data ini juga direka sebagai kemudahan pelbagai peringkat yang menyokong infrastruktur digital berdaulat, khususnya bagi memenuhi keperluan keselamatan data sektor kritikal serta organisasi berskala besar.
Fasa pertama projek ini melibatkan kapasiti beban IT sebanyak 10.06 megawatt yang mencerminkan skala pembangunan pusat data yang signifikan dalam memperkukuh ekosistem digital negara.
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Inspur Cloud Information Technology Co Ltd, Lawrence Yu berkata projek ini mencerminkan skala permintaan infrastruktur digital di Malaysia dan kepentingan membina kemudahan yang dapat memenuhi standard ketahanan dan berprestasi tinggi.
“Inspur melihat Malaysia sebagai pasaran penting dalam pelan pertumbuhan serantau kami dan kerjasama dengan Silverstreams merupakan peluang bagi kami untuk membantu menyiapkan infrastruktur yang menyokong transformasi digital jangka panjang di Asia Tenggara,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Privasia Technology Berhad, Datuk Azman Mahmud pula menyifatkan projek ini sebagai peralihan penting daripada peringkat perancangan kepada pelaksanaan sebenar, selain menzahirkan keyakinan terhadap potensi Bagan Datuk sebagai hab baharu infrastruktur digital.
Secara keseluruhan, projek Pusat Data Silverstreams ini dijangka memberi impak ekonomi jangka panjang termasuk mewujudkan peluang pekerjaan, memperkukuh ekosistem teknologi serta menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab ekonomi digital serantau. - DagangNews.com








