KUALA LUMPUR 12 Nov – Persatuan Haulier Malaysia (AMH) menyuarakan kebimbangan serius terhadap permohonan injunksi sementara yang difailkan oleh pemilik tanah di Kampung Jawa, Klang kerana ia boleh menjejaskan pelaksanaan Seksyen 3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan memberi kesan langsung terhadap industri logistik negara.
Setiausaha Eksekutif AMH, Mohamad Azuan Masud berkata, sebarang kelewatan projek itu boleh menjejaskan kelancaran operasi pengangkutan barangan di seluruh negara, terutamanya bagi sektor kontena, barangan pukal, e-dagang, makanan dan minuman (F&B) serta barangan pengguna yang lain.
“Seksyen 3 WCE merupakan laluan strategik yang menghubungkan Seksyen 2 (Banting–SAE/KESAS) dan Seksyen 4 (FHR2–NNKSB/Grand Sepadu) terus ke Pelabuhan Klang dan Taiping, Perak.
“Laluan ini menjadi penghubung utama bagi kelancaran logistik dan pengedaran barangan ke seluruh negara.
“Jika injunksi ini diteruskan, projek WCE berisiko tertangguh tanpa had masa, sekali gus menjejaskan operasi harian industry yang akan memberi kesan nyata terhadap penghantaran barangan dan kos operasi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, pemilik tanah berkenaan telah memfailkan injunksi pada 6 November 2025 bagi menghalang kerja-kerja pengosongan dan pembersihan di Lot 11113, Mukim Klang, Daerah Klang, sehingga isu utama didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik tanah failkan perintah penangguhan terhadap pengambilan tanah Kg Jawa untuk Projek WCE, perbicaraan ditetapkan 14 Nov
Kes pengurusan telah didengar secara maya pada 10 November 2025, manakala permohonan penuh dijadualkan pada 14 November 2025.
Dalam pada itu, beliau berkata, penangguhan projek susulan injunksi sementara boleh memberi impak negatif kepada mobiliti logistik, kos operasi dan keseluruhan rantaian bekalan negara.
“Antara kesan kelewatan Seksyen 3 WCE ialah laluan alternatif menjadi lebih sesak, meningkatkan masa perjalanan dan kos bahan api.
“Kos operasi penghantaran barangan ke Pelabuhan Klang meningkat dan berlaku gangguan terhadap rantaian bekalan barangan pukal, e-dagang, F&B dan FMCG, sekali gus menjejaskan ekonomi serta harga pengguna,” katanya.
Sehubungan itu, AMH menggesa pihak berkuasa negeri dan Kerajaan Persekutuan memastikan projek WCE diteruskan segera, dan sebarang injunksi tidak menjejaskan kepentingan awam serta operasi logistik negara. - DagangNews.com








