Inisiatif RE baharu guna bumbung bangunan Solar ATAP dimulakan 1 Disember ini - PETRA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inisiatif RE baharu guna bumbung bangunan Solar ATAP dimulakan 1 Disember ini - PETRA

PUTRAJAYA 12 Sept - Kerajaan akan melancarkan inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE) baharu menggunakan bumbung bangunan, dikenali sebagai Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP), bermula 1 Disember ini.

 

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini berkata, program tersebut merupakan kesinambungan daripada inisiatif Net Energy Metering (NEM) yang telah berakhir pada 30 Jun lalu.

 

Menurut kementerian itu, program ini digerakkan berasaskan beberapa prinsip utama, termasuk mengekalkan konsep teras NEM yang membolehkan lebihan tenaga dijual ke grid sebagai pengimbangan, dengan beberapa pelarasan supaya lebih menarik berbanding skim Solar for Self-Consumption (SelCo).

 

Kadar pengimbangan tenaga pula akan ditentukan berdasarkan harga elektrik pasaran, atau system marginal price (SMP), sama seperti program NEM NOVA, bagi menjamin kelestarian jangka panjang.

 

Had pemasangan sistem solar ditetapkan sehingga 100 peratus daripada permintaan maksimum, sekali gus membolehkan pengguna mengoptimumkan penggunaan tenaga solar untuk keperluan mereka.

 

“Garis panduan program dan sistem pendaftaran akan tersedia bermula 1 Disember 2025 dan boleh diakses melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga serta SEDA Malaysia,” katanya.

 

Kenyataan itu menambah, pelaksanaan Solar ATAP dijangka memacu pertumbuhan penjanaan teragih dalam sistem bekalan kuasa negara, di samping menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk memanfaatkan ruang bumbung masing-masing.

 

Kementerian yakin inisiatif baharu itu akan membantu negara mencapai sasaran kapasiti 70 peratus TBB dalam bekalan elektrik menjelang 2050, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI. - BERNAMA