KUALA LUMPUR 31 Mac – Infomina Berhad memenangi kontrak bernilai RM68.92 juta daripada Kementerian Dalam Negeri bagi menyediakan perkhidmatan teknologi dan penyelenggaraan untuk Jabatan Imigresen Malaysia.
Kontrak itu merangkumi operasi, penyelenggaraan dan sokongan untuk perkakasan dan perisian pusat data imigresen, termasuk pembaharuan lesen perisian, penyelenggaraan pencegahan dan pembetulan, serta perkhidmatan sokongan teknikal.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Infomina berkata tempoh kontrak dijadualkan selama 36 bulan, bermula 25 Mac 2026 hingga 24 Mac 2029.
“Sebarang pembaharuan selepas tempoh ini adalah atas budi bicara Kementerian Dalam Negeri. Nilai keseluruhan kontrak itu adalah termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan, menjadikannya satu projek signifikan bagi Infomina,” katanya dalam makluman tersebut.
Menurut syarikat, risiko yang berkaitan adalah sama seperti risiko operasi biasa yang dihadapi Infomina dan tidak menimbulkan cabaran tambahan.
Infomina menjangkakan kontrak ini akan menyumbang positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh perkhidmatan, sekaligus memperkukuhkan kedudukan kewangan syarikat.
Lembaga pengarah Infomina menegaskan bahawa penerimaan SST ini adalah sebahagian daripada urusan perniagaan biasa dan selaras dengan kepentingan syarikat. Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan dalam kontrak ini. - DagangNews.com








