KUALA LUMPUR 17 April — Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.7% pada Mac 2026 berbanding 1.4% bulan sebelumnya, didorong terutamanya oleh lonjakan kos pengangkutan susulan kenaikan harga bahan api.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan tersebut meningkat sedikit kepada kira-kira 136.4 berbanding sebanyak 134.1 pada tempoh sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kumpulan pengangkutan meningkat ketara kepada 1.6% berbanding penguncupan 0.7% pada Februari 2026, sejajar kenaikan harga petroleum.

Harga purata petrol RON97 meningkat kepada RM4.03 seliter berbanding RM3.11 pada Februari 2026, manakala diesel di Semenanjung Malaysia naik kepada RM4.12 seliter daripada RM2.98 sebelumnya.
"Selain itu, inflasi turut dipacu kenaikan dalam kumpulan penjagaan diri dan pelbagai barangan serta perkhidmatan (7.0%), insurans dan perkhidmatan kewangan (4.9%)," katanya dalam kenyataan.
Selain itu jelas beliau, peningkatan turut dicatatkan dalam kumpulan restoran dan penginapan iaitu sebanyak 2.6%, serta kesihatan dan komunikasi yang masing-masing pada kira-kira 1.4%.
Bagaimanapun, kumpulan makanan dan minuman (F&B) yang menyumbang hampir 30% kepada wajaran IHP mencatat pertumbuhan lebih sederhana iaitu 1.1% berbanding 1.3% pada Februari.
DOSM memaklumkan sebanyak 62.5% daripada keseluruhan item menunjukkan peningkatan harga, namun sebahagian besar kenaikan adalah sederhana dengan hanya sebilangan kecil melebihi 10%.
Dari segi negeri, lapan negeri mencatat inflasi melebihi paras nasional, termasuk Pahang (2.5%), Labuan (2.4%) dan Kuala Lumpur (2.2%), manakala Kelantan merekodkan kadar terendah pada 0.7%.
Secara bulanan pula menurut DOSM, inflasi pada Mac 2026 meningkat kira-kira 0.3% berbanding 0.2% pada Februari 2026, sekali lagi dipacu oleh kumpulan pengangkutan.
Dalam konteks serantau, kadar inflasi Malaysia kekal rendah berbanding beberapa negara seperti Vietnam (4.7%), Filipina (4.1%) dan Indonesia (3.5%), menunjukkan tekanan harga domestik masih terkawal meskipun berdepan kenaikan kos bahan api. - DagangNews.com








