Inflasi Malaysia diunjur naik 4%, kesan kenaikan kadar faedah disebabkan perkembangan ekonomi negara - Nomura  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi Malaysia diunjur naik 4%, kesan kenaikan kadar faedah disebabkan perkembangan ekonomi negara - Nomura 

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Jan - Inflasi Malaysia mungkin meningkat pada 2025 didorong oleh kenaikan kadar faedah disebabkan perkembangan ekonomi negara kukuh, Nomura Global Markets Research.

 

Ketua Ahli Ekonomi Nomura Asean, Euben Paracuelles menjangkakan inflasi Malaysia mencecah 4% berbanding dengan unjuran kerajaan iaitu dalam julat 2% sehingga 3.5%.

 

Katanya, ekonomi Malaysia sedang berkembang dengan pesat daripada jangkaannya dibantu oleh perbelanjaan pengguna kukuh dan peningkatan kemasukan pelaburan asing.

 

 

Beliau juga menganggarkan harga runcit RON95 berpotensi meningkat sebanyak 10% hingga 15% daripada harganya yang dihadkan pada RM2.05 sejak 2021.

 

"Bank Negara Malaysia mungkin menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) penanda aras sebanyak 25 mata asas kepada 3.25% pada suku kedua.

 

"Bank pusat telah mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3% sejak Mei 2023," katanya. 

 

Paracuelles menjangkakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.7% tahun ini, melebihi ramalan rasmi 4.5% hingga 5.5%.

 

“Malaysia menyerlah dalam semua aspek seperti perbelanjaan pengguna kukuh, pertumbuhan gaji meningkat dan kemasukan aliran pelaburan tinggi, terutamanya dalam teknologi dan AI (kecerdasan buatan) dan ledakan pembinaan data,” katanya. 

 

Kejayaan negara dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara ketara.

 

Paracuelles berkata, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal menjadi tarikan utama FDI dan menetapkan paras bagi peningkatan produktiviti jangka panjang.

 

Sementara itu, beliau menganggarkan potensi pertumbuhan ekonomi jangka sederhana Malaysia boleh mencapai sekitar 5.4% hingga 5.5% dalam tempoh lima tahun akan datang. - DagangNews.com