Inflasi diunjur meningkat separuh kedua 2025 didorong SST diperluas - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi diunjur meningkat separuh kedua 2025 didorong SST diperluas - MBSB Research

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Sept - Inflasi Malaysia dijangka meningkat pada separuh kedua 2025 berikutan tekanan kos yang semakin ketara dan permintaan domestik yang lebih kukuh, menurut MBSB Research.

 

Antara penyebab utama ialah peluasan liputan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang merangkumi beberapa barangan makanan import, selain sokongan daripada langkah fiskal kerajaan dan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Menurut MBSB Research, faktor-faktor tersebut bakal menolak harga ke paras lebih tinggi menjelang akhir tahun.

 

“Kenaikan harga petrol akan memberi kesan terutamanya kepada bukan warganegara, namun impak inflasi dijangka diimbangi dengan penurunan harga RON95 bersubsidi yang berkuat kuasa hujung September.

 

Pengukuhan ringgit juga mampu menurunkan kos import dan meredakan tekanan harga keseluruhan,” katanya dalam laporan terbaharu.

 

Indeks harga pengguna (CPI) utama Malaysia mencatat peningkatan kecil kepada +1.3% tahun ke tahun pada Ogos 2025 berbanding +1.2% pada Julai, sejajar dengan jangkaan pasaran. Ia juga merupakan kenaikan ketiga berturut-turut selepas mencapai paras terendah tahun ini pada Jun (+1.1%).

 

MBSB Research turut menurunkan unjuran inflasi keseluruhan bagi tahun 2025 kepada +1.4% berbanding +1.8% pada 2024 dan ramalan awal +1.8%. Penyesuaian ini dibuat berikutan tekanan kos yang sederhana sejak beberapa bulan lalu serta kelewatan pelaksanaan subsidi bersasar RON95.

 

Dalam komponen makanan, inflasi makanan di luar rumah kekal tinggi pada kadar +4.3% yoy, manakala makanan di rumah masih mencatatkan penguncupan pada -0.1% yoy, lebih baik berbanding -0.3% pada Julai.

 

Mengikut strata, inflasi di kawasan bandar meningkat kepada +1.3% yoy pada Ogos (Julai: +1.2%), manakala inflasi luar bandar naik lebih tinggi pada +1.0% yoy (Julai: +0.7%).

 

Impak SST

Walaupun peluasan SST dijangka menyumbang kepada kenaikan harga, impaknya setakat ini masih terkawal. Harga minyak mentah dunia yang lebih rendah berbanding tahun lalu juga membantu mengehadkan tekanan kos import.

 

Melangkah ke hadapan, gabungan permintaan yang lebih kukuh, langkah fiskal kerajaan dan pelonggaran dasar monetari dijangka meningkatkan tekanan inflasi pada separuh kedua tahun ini, kata firma penyelidikan tersebut lagi.

 

Namun, pengukuhan ringgit dan penurunan harga RON95 bersubsidi kepada warganegara mampu mengimbangi sebahagian kesan tersebut.

 

MBSB Research bagaimanapun mengingatkan risiko inflasi makanan kekal tinggi sekiranya cuaca buruk menjejaskan pengeluaran pertanian tempatan. - DagangNews.com