Industronics disaman lebih AS$5 juta oleh Bluemount Investment Fund | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industronics disaman lebih AS$5 juta oleh Bluemount Investment Fund

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Industronics Berhad memaklumkan telah menerima writ saman daripada Bluemount Investment Fund SPC berhubung saman sivil yang difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, writ saman tersebut telah dimeterai oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Julai 2026 dan diserahkan ke pejabat berdaftar syarikat pada 27 Julai 2026.

 

"Bagaimanapun, writ saman berkenaan tidak disertakan dengan Pernyataan Tuntutan," katanya dalam makluman tersebut.

 

Menurut Industronics, berdasarkan maklumat tertera pada writ tersebut, saman itu berkaitan perkara yang timbul daripada perjanjian pinjaman bertarikh 24 Mac 2025 yang melibatkan syarikat serta dakwaan berkaitan beberapa pengarah atau pegawai.

 

Syarikat berkata, pihaknya kini sedang menilai asas dan butiran penuh saman tersebut bersama penasihat guaman berikutan ketiadaan Pernyataan Tuntutan ketika writ saman diserahkan.

 

Namun dari segi kewangan, saman tersebut dijangka melibatkan tuntutan sehingga AS$5.152 juta.

 

"Jumlah tersebut merangkumi prinsipal dan faedah terakru seperti dinyatakan pada 2 April 2026, tidak termasuk sebarang faedah tambahan serta kos guaman," kata kenyataan itu.

 

Bagaimanapun, pada peringkat ini tiada liabiliti telah ditentukan oleh mahkamah dan kesan kewangan akhir, jika ada, akan bergantung kepada keputusan saman serta sebarang pliding atau perintah mahkamah selanjutnya.

 

"Pada peringkat ini saman berkenaan juga tidak dijangka memberi kesan material terhadap operasi perniagaan harian kumpulan," katanya.

 

Syarikat telah melantik peguam untuk memberikan nasihat serta mempertahankan saman tersebut. - DagangNews.com