Industri kreatif digital negara jana RM5.3 bilion, cipta 10,000 peluang kerja baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri kreatif digital negara jana RM5.3 bilion, cipta 10,000 peluang kerja baharu

Industri kreatif digital berjaya men.cipta 10,000 peluang pekerjaan pada tahun 2023.
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai – Industri kreatif digital Malaysia mencatat prestasi cemerlang pada tahun 2023 apabila menjana sebanyak RM5.3 bilion dan nilai eksport sebanyak RM800 juta, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

 

Tambahnya, industri itu juga berjaya mencipta 10,000 peluang pekerjaan baharu termasuk bidang animasi, pembangunan permainan video, produksi dan kandungan digital.

 

Beliau berkata, kerajaan telah memberi komitmen yang tinggi untuk membangunkan sektor kreatif digital dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab serantau dan global bagi penghasilan kandungan digital menjelang 2030.

 

"Ini selaras dengan Pelan Induk Ekosistem Kreatif Digital (DICE) yang dilancarkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), 

 

"DICE adalah satu strategi menyeluruh bagi membina ekosistem mampan yang menyokong pembangunan bakat, akses pasaran, pelaburan dan inovasi dalam industri ini," katanya ketika merasmikan pelancaran permainan video Upin & Ipin Universe di sini, hari ini.

 

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Gerald Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Streamline Media Group, Alexander Fernandez.

 

Beliau berkata, seiring dengan perkembangan pesat pendigitalan global, sektor permainan digital negara turut menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan.

 

"Sehubungan itu, kementerian akan terus memperkasakan transformasi digital negara dengan memberi keutamaan kepada sub sektor animasi dan permainan digital sebagai komponen utama agenda negara," katanya.

 

Tambahnya, MDEC turut melancarkan dua program utama iaitu Animated Shorts Challenge dan Digital Games Testbed untuk mencungkil bakat tempatan dalam bidang animasi dan sebagai platform untuk memperkenalkan teknologi digital yang kompetitif di peringkat antarabangsa. - DagangNews.com