AS-Indonesia meterai perjanjian perdagangan timbal balik bernilai AS$38.4 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AS-Indonesia meterai perjanjian perdagangan timbal balik bernilai AS$38.4 bilion

WASHINGTON 20 Feb - Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) memeterai 11 perjanjian perniagaan bernilai AS$38.4 bilion (RM150 bilion) semasa pertemuan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dengan Presiden AS Donald Trump bagi menandatangani perjanjian perdagangan muktamad antara kedua-dua negara.

 

Menurut kenyataan kerajaan Indonesia, perjanjian itu dimeterai dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh US Chamber of Commerce sempena lawatan Prabowo ke Washington.

 

Kesemua 11 perjanjian tersebut melibatkan kerjasama dalam sektor perlombongan, tenaga, agribisnes, tekstil, perabot dan teknologi, mencerminkan pengukuhan hubungan ekonomi dua hala yang lebih menyeluruh.

 

“Kami berharap dapat mencari rakan kongsi yang bersedia menyertai usaha berterusan kami untuk memodenkan dan memperindustri negara,” kata Prabowo dalam ucapannya.

 

Beliau berkata perjanjian-perjanjian tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan kepada Perjanjian Perdagangan Timbal Balik AS-Indonesia yang dijadual ditandatangani bersama Trump, dan dijangka membantu mengurangkan lebihan dagangan Indonesia dengan AS.

 

“Saya amat optimistik tentang masa depan hubungan kita,” katanya.

 

Nilai AS$38.4 bilion itu lebih tinggi berbanding anggaran awal melebihi AS$7 bilion yang dibentangkan sebelum ini oleh US-ASEAN Business Council (USABC).

 

Komitmen Pembelian Produk Pertanian

USABC memaklumkan Indonesia akan membeli 1 juta tan metrik kacang soya AS, 1.6 juta tan jagung dan 93,000 tan kapas dalam tempoh yang tidak dinyatakan.

 

Selain itu, Indonesia turut bersetuju membeli 1 juta tan gandum tahun ini dan sehingga 5 juta tan menjelang 2030.

 

USABC menilai pembelian kacang soya itu bernilai AS$685 juta, gandum (AS$1.25 bilion), kapas (AS$122 juta) serta tambahan pembelian pakaian lusuh dari AS untuk dikitar semula bernilai AS$200 juta.

 

Menurut data United States Census Bureau, antara 2015 hingga 2024, Indonesia secara purata mengimport 2.3 juta tan metrik kacang soya AS setiap tahun, hampir 800,000 tan gandum, kira-kira 180,000 tan kapas dan kurang 100,000 tan jagung.

 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Indonesia mengimport sekitar AS$3 bilion produk pertanian AS setiap tahun, menjadikannya pasaran ke-11 terbesar bagi eksport hasil tani negara itu.

 

Kerjasama Mineral Kritikal dan Tenaga

Antara perjanjian utama ialah memorandum persefahaman antara kumpulan perlombongan AS Freeport-McMoRan dan Kementerian Pelaburan Indonesia bagi kerjasama dalam mineral kritikal.

 

Freeport turut menandatangani perjanjian awal untuk melanjutkan permit perlombongannya di Indonesia melepasi 2041, menurut Pengerusinya, Richard Adkerson, yang menyifatkan langkah itu penting bagi peluasan sumber jangka panjang.

 

Dalam sektor tenaga, syarikat minyak dan gas milik negara Indonesia Pertamina menandatangani perjanjian dengan penyedia perkhidmatan medan minyak AS Halliburton bagi kerjasama dalam pemulihan lapangan minyak.

 

Dua perjanjian usaha sama dalam sektor semikonduktor turut dimeterai, termasuk satu bernilai AS$4.89 bilion antara Essence Global Group dan rakan kongsi Indonesia, serta satu lagi melibatkan Tynergy Technology Group.

 

Tidak semua perjanjian mendedahkan nilai kewangan, termasuk pembelian kayu dan produk perabot dari AS serta pakatan zon perdagangan bebas rentas negara yang dimeterai antara pemaju taman perindustrian Indonesia, Galang Bumi Industri dan Solanna Group LLC.

 

Perjanjian Timbal Balik Perkukuh Hubungan Dua Hala

Lawatan Prabowo ke Washington turut bertujuan memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik yang sebelum ini diumumkan oleh Washington.

 

Sementara itu, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Duta Jamieson Greer dalam kenyataan terdahulu berkata perjanjian tersebut akan menghapuskan halangan tarif ke atas lebih 99% eksport AS ke Indonesia merentasi semua sektor.

 

“Presiden Trump membuka pasaran Indonesia yang mempunyai lebih 280 juta penduduk bagi mewujudkan peluang komersial bermakna kepada petani dan pengilang Amerika,” katanya.

 

Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah bersejarah yang meruntuhkan halangan perdagangan serta memajukan kepentingan ekonomi dan keselamatan negara rakyat Amerika, selain menzahirkan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Indonesia dalam pelaksanaan perjanjian berstandard tinggi itu.

 

Pemerhati pasaran kini menantikan impak sebenar perjanjian tersebut terhadap struktur tarif, aliran perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, khususnya dalam sektor pertanian, mineral kritikal, tenaga dan teknologi tinggi. - DagangNews.com