Seperti mana diumumkan oleh Transparency International (TI) pada 11 Februari 2025, Malaysia memperoleh skor 50 mata (atau 50%) dan berada di kedudukan ke-57 dari 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Skor dan kedudukan ini adalah tidak berubah berbanding tahun 2023. Di mana kedudukan Malaysia berbanding negara ASEAN dan negara Islam lain?
Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua iaitu di belakang Singapura yang berada di kedudukan ketiga dari 180 negara.
Kedudukan negara ASEAN lain adalah Vietnam (88), Indonesia (99), Thailand (107), Filipina (114), Laos (114), Kemboja (158), dan Myanmar (168).
Dalam kalangan negara Islam pula, Malaysia berada di kedudukan keenam iaitu di belakang Emiriah Arab Bersatu yang berada di kedudukan ke-23, Qatar (38), Saudi Arabia (38), Oman (50), dan Bahrain (53).

Mereka yang mengikuti perkembangan CPI pasti kecewa dengan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI 2024. Seolah-olah pelbagai usaha agresif yang dilaksanakan untuk mencapai sasaran ke-25 teratas CPI menjelang tahun 2033 tidak memberi apa-apa hasil.
Tidak kurang juga mengganggap sasaran kerajaan tersebut adalah misi mustahil.
Namun, kejayaan Oman dan Bahrain dalam meningkatkan skor CPI mereka secara signifikan dalam tempoh setahun seharusnya menjadi inspirasi kepada Malaysia.
CPI: Penilaian Lebih Daripada Isu Rasuah
Antara tanggapan salah masyarakat adalah mengatakan CPI mengukur isu rasuah semata-mata dan meletakkan tanggungjawab untuk meningkatkan CPI hanya di atas bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakikatnya, skop kajian CPI adalah luas melibatkan isu rasuah dan tatakelola dalam pentadbiran kerajaan.
Selain rasuah, CPI mengukur salah guna jawatan awam untuk kepentingan peribadi, penyelewengan dana awam, pelaksanaan inisiatif integriti, iltizam kerajaan dalam memerangi rasuah, kebebasan bersuara, akses kepada maklumat kerajaan, pendakwaan terhadap pegawai awam yang korup, birokrasi yang berlebihan, perundangan berkaitan pendedahan kewangan, dan perlindungan terhadap pemberi maklumat.
Sebaliknya CPI tidak mengambil kira masalah rasuah dalam sektor swasta, penipuan cukai, aliran wang haram, penglibatan ‘enabler’ (individu atau badan profesional seperti setiausaha syarikat, peguam, dan akauntan) dalam rasuah, jenayah pengubahan wang haram, dan pasaran tidak sah.
Petanda positif dalam CPI 2024
CPI bukan satu kajian khusus yang dilaksanakan oleh TI. CPI adalah indeks yang terhasil daripada gabungan beberapa kajian lain. Terdapat sembilan kajian yang menjadi sumber kepada CPI Malaysia.
Responden kepada kajian-kajian tersebut bukan rakyat biasa atau orang awam, tetapi terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang dan eksekutif perniagaan.

Walaupun kedudukan Malaysia tidak berubah, terdapat perkembangan positif berdasarkan enam kajian yang menunjukkan peningkatan skor antara satu hingga empat mata: Kajian tersebut adalah:
- Bertelsmann Stiftung Transformation Index, yang mencatat 51 mata iaitu meningkat dua mata berbanding 2023;
- Political and Economic Risk Consultancy Asian Intelligence (45 mata, meningkat empat mata);
- The PRS Group International Country Risk Guide (51 mata, meningkat satu mata);
- World Economic Forum Executive Opinion Survey (50 mata, meningkat tiga mata);
- World Justice Project Rule of Law Index Expert Survey (48 mata, meningkat satu mata); dan
- Varieties of Democracy (53 mata, meningkat dua mata).
Manakala, satu kajian iaitu Global Insight Country Risk Ratings merekodkan skor Malaysia yang tidak berubah iaitu 59 mata.
Sekiranya diteliti prestasi sembilan kajian yang diambil kira dalam CPI Malaysia 2024, sebenarnya ada petanda baik kepada usaha-usaha yang sedang dilaksanakan.
Punca kejatuhan CPI Malaysia
Dua kajian mengalami kemerosotan yang agak teruk iaitu IMD World Competitiveness Center World Competitiveness Yearbook Executive Opinion Survey (IMD World Competitiveness Yearbook) dan Economist Intelligence Unit Country Risk Service (EIU Country Risk Service).
IMD World Competitiveness Yearbook adalah kajian (laporan) yang menilai daya saing sesebuah negara berdasarkan faktor prestasi ekonomi, infrastruktur, kecekapan kerajaan, dan perniagaan.
Skor Malaysia bagi kajian ini adalah 38 mata, jatuh sembilan mata berbanding tahun 2023 (47 mata).
Berdasarkan rekod dari 2015 hingga 2023, skor Malaysia dalam IMD World Competitiveness Yearbook adalah antara 40 mata (2022) hingga 56 mata (2019).
Antara soalan yang ditanya adalah, “Rasuah: Wujud atau tidak wujud” (Bribery and corruption: Exist or do not exist). Responden diminta untuk membuat penilaian dalam skala 1 hingga 6.
Skala 1 menunjukkan tahap persepsi rasuah yang tertinggi dan skala 6 adalah persepsi rasuah yang terendah.
Kajian kedua iaitu EIU Country Risk Service menyediakan analisis risiko politik, ekonomi, dan sosial di pelbagai negara. Kajian ini membantu syarikat dan pelabur menilai kestabilan dan risiko sebelum membuat keputusan perniagaan atau pelaburan.
Dalam CPI 2024, skor Malaysia dalam kajian ini adalah 51 mata, jatuh empat mata berbanding tahun 2023 (55 mata). Berdasarkan rekod, dari tahun 2015 hingga 2023, skor Malaysia dalam kajian ini adalah konsisten antara 54 mata dan 55 mata.
Bagi CPI, soalan yang diambil kira dalam kajian EIU Country Risk Service adalah berkaitan penyelewengan dana awam, ketelusan dalam proses perolehan kerajaan, kebebasan instisusi kehakiman, dan rasuah oleh pegawai awam.

Menurut TI-Malaysia, kedua-dua kajian ini menunjukkan bahawa komuniti perniagaan dan pelabur masih melihat rasuah sebagai cabaran utama dalam sektor awam Malaysia.
Tambahan pula, CPI mempunyai tempoh ‘ketinggalan’ (lagging) sehingga dua tahun. Bermakna, CPI 2024 merupakan cerminan kejadian yang berlaku sekitar tahun 2022 dan 2023.
Sekitar tahun tersebut, banyak kes berprofil tinggi menjadi perhatian umum, sama ada dalam siasatan SPRM, dipertuduh di mahkamah, sedang dibicarakan atau keputusan kes oleh mahkamah.
Semua ini berkemungkinan besar mencetuskan persepsi negatif masyarakat, termasuk komuniti peniaga terhadap isu rasuah dan masalah integriti dalam perkhidmatan awam.
Antaranya, pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Projek Jana Wibawa; perbicaraan kes 1MDB yang menjadi simbol ketirisan dana awam; pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man kerana tuntutan palsu berjumlah RM1.185 juta; dan sabitan mahkamah terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Selain itu, beberapa kejayaan SPRM membongkar kes bersindiket mendapat liputan luas media. Antaranya, kes penyelewengan peruntukan Program Insentif Pengambilan Pekerja & Program Latihan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), yang membawa kepada penangkapan 71 individu di seluruh negara; dan tangkapan terhadap 28 individu yang terlibat rasuah di kawasan perairan negara (Ops Tunda).
Walaupun usaha SPRM itu membuktikan komitmen dalam membanteras rasuah, ia juga mengukuhkan persepsi bahawa rasuah masih berleluasa dan sektor awam sedang mengalami krisis integriti yang serius.
Pada masa yang sama, penambahbaikan dan usaha-usaha mengukuhkan tatakelola di sektor awam kurang dihebahkan kepada masyarakat.
Akibatnya, walaupun banyak penambahbaikan telah dilakukan, namun, perkara itu tidak diketahui umum.

Persepsi negatif masyarakat terus kekal. Negara yang wajar diberi perhatian berdasarkan CPI 2024, Oman dan Bahrain berjaya memperoleh peningkatan skor yang sangat signifikan.
Skor CPI 2024 negara Oman adalah sebanyak 55 mata, iaitu pertambahan sebanyak 12 mata berbanding tahun sebelumnya. Menjadikan negara itu melonjak naik 20 tangga, iaitu dari kedudukan ke-70 kepada kedudukan ke-50.
Bahrain pula memperoleh 53 mata dalam CPI 2024, berbanding 42 mata dalam CPI 2023. Dengan peningkatan skor sebanyak 11 mata, kedudukan negara itu melonjak 23 tangga iaitu dari kedudukan ke-76 kepada kedudukan ke-53.
Kejayaan Oman dan Bahrain adalah bukti bahawa tidak mustahil untuk sesebuah negara meningkatkan skor CPI secara mendadak.
Sudah tentu ia hasil penambahbaikan tatakelola dan usaha pencegahan rasuah dalam sektor awam.
Persoalannya, adakah Malaysia mampu berbuat demikian?
Justeru, punca yang membawa prestasi kedua-dua negara ini wajar dikaji untuk faedah negara kita. Pasti ada aspek yang boleh dijadikan panduan. - DagangNews.com








