KUALA LUMPUR 3 Nov – Incora, penyedia global rantaian bekalan bersepadu untuk sektor aeroangkasa dan pertahanan, mengukuhkan kehadirannya di Asia Pasifik dengan pembukaan rasmi pejabat baharu di Johor, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi strategik syarikat dalam rantau ini.
Pejabat baharu itu akan berfungsi sebagai Pusat Perkhidmatan Bersama Asia Pasifik Incora, yang menyokong lebih 250 pelanggan dan 300 vendor.
Ketua Pegawai Eksekutif Incora, David Coleal berkata, Malaysia dipilih sebagai hab serantau berikutan kedudukan strategik, infrastruktur kukuh serta tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menyokong keperluan operasi jangka panjang syarikat.
“Pembukaan ini bukan sekadar penubuhan pejabat baharu sebaliknya ia melambangkan pertumbuhan, keupayaan dan kolaborasi Incora di seluruh Asia Pasifik.
“Malaysia merupakan lokasi ideal untuk operasi kami yang berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak 2019, kehadiran Incora di Malaysia berkembang lebih 12 kali ganda, daripada empat pekerja kepada jangkaan 50 pekerja menjelang akhir 2025, mencerminkan peningkatan permintaan perkhidmatan rantaian bekalan syarikat di rantau APAC.
Naib Presiden dan Pengurus Besar Perkakasan APAC Incora, Kian Hwee Yeo pula berkata, perkembangan itu didorong keyakinan pelanggan global terhadap keupayaan Malaysia sebagai pangkalan operasi serantau bagi industri aeroangkasa dan kimia khusus.
“Ketika Incora terus melabur dalam sumber manusia, teknologi dan infrastruktur, kami memperkukuh keupayaan untuk memberikan kebolehpercayaan serta prestasi yang menjadi asas hubungan kami dengan rakan industri,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahan Kimia APAC Incora, Christian Mota berkata, pengembangan di Malaysia akan mengoptimumkan rangkaian rantaian bekalan syarikat, termasuk meningkatkan kepantasan tindak balas dan kualiti perkhidmatan merentasi pasaran.
Dengan operasi di 68 lokasi merangkumi 17 negara dan lebih 3,800 pekerja global, Incora menegaskan komitmennya untuk terus menjadikan Malaysia sebagai pusat strategik bagi pertumbuhan jangka panjang dalam sektor aeroangkasa serantau. - DagangNews.com








