KUALA LUMPUR 21 Jan - IJM Corp Bhd menafikan dakwaan pengubahan wang haram dan menegaskan kumpulan itu tidak disiasat oleh pihak berkuasa United Kingdom (UK), ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan terhadap dakwaan skim pengubahan wang haram bernilai RM2.5 bilion yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan.
Dalam satu kenyataan media, kumpulan pembinaan dan infrastruktur itu berkata, syarikat tidak mengetahui sebarang siasatan oleh Serious Fraud Office (SFO) UK dan menjelaskan bahawa syarikat mahupun rakan sekutunya di UK tidak pernah dihubungi oleh pihak berkuasa Britain tersebut.
“Pihak syarikat dan rakan sekutu kami di UK tidak mengetahui sebarang siasatan oleh SFO UK. Kami tidak pernah dihubungi dan sebarang laporan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak tepat,” kata IJM.
IJM turut menolak dakwaan mengatakan ia terlibat dalam pengubahan wang haram dan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas.
Menurut syarikat itu, sejak 2012, pelaburan IJM di UK dibiayai terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang diperoleh daripada institusi kewangan di Malaysia sebelum disalurkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) projek di UK.
“Ia telah melalui proses penilaian perniagaan dan tadbir urus dalaman syarikat yang ditetapkan,” katanya.
`Penasihat Syarikat'
Menurut laporan Bernama pada Isnin, SPRM telah mengenal pasti seorang anggota pengurusan tertinggi IJM yang bergelar Tan Sri, selain seorang “penasihat syarikat”, sebagai individu berkepentingan berkaitan dakwaan skim pengubahan wang haram bernilai RM2.5 bilion.
Beberapa laporan media lain turut mendakwa SFO UK telah melancarkan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua individu berkenaan.
Dalam kenyataannya pada Selasa, IJM menjelaskan bahawa individu yang digambarkan dalam laporan sebagai “penasihat syarikat” sebelum ini hanya dilantik secara profesional bagi menyediakan khidmat nasihat untuk beberapa urus niaga korporat tertentu dalam tempoh terhad.
Kumpulan itu berkata, Pengerusi IJM, Tan Sri Krishnan Tan telah bertemu pegawai SPRM pada hari yang sama dan terus memberi kerjasama penuh, manakala kakitangan lain yang diminta memberikan maklumat turut membantu pihak berkuasa.
IJM menegaskan, operasi perniagaannya tidak terjejas oleh siasatan yang sedang dijalankan.
“Operasi perniagaan berjalan seperti biasa,” kata kumpulan itu, sambil menambah syarikat kekal komited terhadap standard tinggi tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti.
Selepas susut sehingga 16.4% pada Isnin, saham IJM meneruskan penurunan pada Selasa. Saham berkenaan jatuh ke paras terendah intra hari pada RM2.49 sebelum mengurangkan kerugian untuk ditutup lapan sen atau 3.02% lebih rendah pada RM2.57.
Ini meletakkan nilai pasaran kumpulan itu pada RM9.37 bilion. Sebanyak 67.5 juta saham diniagakan, menjadikannya saham ketiga paling aktif di Bursa Malaysia. - DagangNews.com








