IJM Land perkenal taman komuniti RM3 juta di Bandar Puncak Alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IJM Land perkenal taman komuniti RM3 juta di Bandar Puncak Alam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt – IJM Land Berhad terus memperkukuh peranannya sebagai pemaju utama di Bandar Puncak Alam dengan pelancaran Suria Park, sebuah taman komuniti hijau bernilai RM3 juta yang menjadi mercu tanda baharu di perbandaran Suria Hill.

 

Taman seluas 4.42 ekar itu dibangunkan sebagai ruang riadah dan kesejahteraan untuk semua lapisan masyarakat, menampilkan pelbagai kemudahan seperti trek joging, laluan mendaki, gelanggang serbaguna, taman permainan kanak-kanak dan taman kucing.

 

Direka oleh firma landskap HODA Design, Suria Park berinspirasikan tenaga dan kehangatan mentari, dengan landskap lestari yang menggunakan sistem saliran semula jadi serta bahan mesra alam bagi menjamin kelangsungan dan ketahanan taman untuk komuniti masa depan.

 

t

 

 

t

 

Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, Suria Park mencerminkan visi syarikat dalam membentuk perbandaran lestari bersama keluarga dan menyokong kesejahteraan komuniti.

 

“Suria Park menyediakan kemudahan selesa untuk aktiviti harian penduduk ke arah amalan gaya hidup sihat.

 

“Inisiatif ini selari dengan matlamat IJM Land untuk mewujudkan bandar yang berteraskan kesejahteraan, keterangkuman dan keharmonian dengan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Suria Park merupakan sebahagian daripada pembangunan Suria Hill, perbandaran seluas 170 ekar dengan kepadatan rendah hanya 10 unit bagi setiap ekar dan berada di atas tanah setinggi 50 meter dari aras laut.

 

Fasa pertama pembangunan, Soren, dilancarkan pada Mac 2025 dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM87.9 juta melibatkan 142 unit rumah teres dua tingkat. Ia mencatatkan kadar tempahan sebanyak 80%.

 

Kejayaan itu akan diteruskan dengan pelancaran Sovana pada Februari 2026, projek bernilai RM70.9 juta yang menawarkan 96 unit rumah teres dua tingkat.

 

Terletak di lokasi strategik berhampiran lebuh raya utama seperti LATAR, GCE, DASH, NKVE dan WCE serta bakal disokong oleh stesen ECRL berjarak kira-kira satu kilometer, Suria Hill menampilkan keseimbangan antara akses moden, gaya hidup hijau dan komuniti sejahtera. - DagangNews.com