KUALA LUMPUR 30 Jan — IHH Healthcare Berhad dikhuatiri berdepan isu kritikal apabila mengambil langkah strategik dengan membuat pelaburan dalam teknologi radioterapi baharu, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah itu mengakibatkan kos tinggi pelaburan kerana sistem berkenaan diimport daripada sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), TibaRay.
Bagaimanapun jelasnya, pelaburan ini membolehkan masa rawatan dipercepatkan, meningkatkan kawalan dos dengan kurang 30% dan memberikan pendedahan radiasi yang lebih selamat kepada pesakit.
"Ia mengukuhkan fokus IHH terhadap penjagaan kanser, kerana produk ini akan melengkapkan teknologi diagnostik sedia ada termasuk LINAC, Gamma Knife dan Lucence," kata MBSB Research dalam notanya.
Kos pelaburan tidak didedahkan, tetapi dijangka selaras atau sedikit lebih tinggi berbanding mesin LINAC konvensional bernilai RM19.6 juta, dan mesin jenis proton PHASER boleh mencecah RM392 juta.
Tambah firma tersebut, PHASER mampu merawat pesakit 400 kali lebih pantas berbanding radioterapi konvensional, manakala mesin FLASH mengurangkan keperluan protokol pengurusan pergerakan kompleks.
Dari segi perbelanjaan jangka panjang, MBSB Research menilai penggunaan mesin berteknologi moden dari AS itu berupaya menjimatkan kos tenaga kerja, selain dijangka mengurangkan masa sesi rawatan.
"Kami menyifatkan pelaburan ini sebagai strategi untuk menjadikan IHH sebagai penyedia premium teknologi onkologi, dan dapat menyokong inisiatif pihak kerajaan bagi rawatan kanser," jelasnya lagi.
Sehubungan itu tambahnya, meskipun kos awal adalah tinggi, potensi pulangan dan peningkatan intensiti pendapatan melalui kes onkologi berprofil tinggi dijangka mengimbangi pelaburan jangka panjang.
Berdasarkan potensi itu, MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' ke atas IHH dengan harga sasaran RM8.25 sesaham, sambil menunggu keputusan kewangan FY25 dan kemasukan produk ke pasaran.
Secara keseluruhan, firma tersebut melihat pelaburan dalam teknologi TibaRay sebagai positif dari segi strategi dan prestasi onkologi IHH, namun kos yang tinggi menjadi cabaran kritikal jangka pendek.
"Kami difahamkan yang produk ini pula masih dalam proses pembangunan dan keadaan tersebut menjadi faktor yang perlu diperhatikan oleh pelabur ke atas saham kumpulan ini," katanya. - DagangNews.com








