KUALA LUMPUR 9 Okt – Wilayah Selangor Selatan meliputi daerah Sepang dan Kuala Langat bakal muncul sebagai kuasa ekonomi baharu negeri Selangor, dipacu oleh pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar dan industri bernilai tinggi menerusi pelan induk Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS), menurut CIMB Securities.
Dalam satu laporan penyelidikan yang diterbitkan, CIMB Securities mengunjurkan nilai pembangunan kasar (GDV) koridor IDRISS yang meliputi 16,187 hektar merentasi Sepang dan Kuala Langat boleh mencecah RM1 trilion, dipacu oleh pengembangan sektor taman perindustrian, pelabuhan, aeroangkasa dan perkhidmatan digital.
Pelan itu juga disokong oleh peningkatan jaringan pengangkutan serta insentif khusus kerajaan negeri bagi menarik pelaburan domestik dan asing, sekali gus mempercepat transformasi ekonomi kawasan tersebut.
"Dengan pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), potensi pertumbuhan IDRISS dijangka terus berkembang," kata firma penyelidikan itu.
CIMB Securities mengekalkan saranan "Overweight" terhadap sektor pembinaan, dan "Neutral" terhadap sektor hartanah**, dengan IJM Corporation Bhd dinamakan sebagai syarikat yang paling berpotensi meraih manfaat daripada pembangunan infrastruktur di Selangor Selatan.
“Dengan rekod pelaksanaan projek yang kukuh, IJM berada pada kedudukan terbaik untuk merebut peluang dalam transformasi infrastruktur ini. Pemaju lain yang mempunyai kehadiran kukuh dalam koridor IDRISS juga dijangka menjadi penerima manfaat,” katanya.
Sebagai negeri penyumbang ekonomi terbesar negara, Selangor menyumbang RM432 bilion atau 26% kepada KDNK Malaysia pada 2024, justeru pelancaran pelan induk IDRISS oleh kerajaan negeri pada Mac 2023 dilihat penting untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ini.
Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) turut bekerjasama dengan IJM dan Lim Seong Hai Capital Bhd bagi meneroka naik taraf infrastruktur jalan raya secara lestari di Selangor Selatan.
Meskipun masih di peringkat kajian kebolehlaksanaan, naik taraf rangkaian ini dijangka mengurangkan kesesakan di Lebuhraya ELITE, meningkatkan akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan merangsang pembangunan pekan pesisir seperti Sepang dan Morib.
"Dalam jangka sederhana hingga panjang, IJM berpotensi menyertai projek sambungan jalan dan pembangunan semula Pulau Carey sebagai hab makanan dan teknologi pendidikan bertaraf global," tambah laporan itu.
Firma penyelidikan itu juga menyatakan Gamuda Bhd telah memperluas kehadirannya di Selangor Selatan menerusi pengambilalihan lebih banyak tanah di Dengkil untuk menambah simpanan tanah Gamuda Cove – bandar terbesar domestik kumpulan itu dengan unjuran GDV sebanyak RM20 bilion, atau sepertiga daripada keseluruhan GDV kumpulan bernilai RM61 bilion.
Sementara itu, Mah Sing Group Bhd melalui kerjasama usaha sama akan membangunkan Mah Sing Business Park di Sepang seluas 75 hektar, dengan GDV sekitar RM728 juta. - DagangNews.com








