ICT Zone Asia meterai perjanjian taja jamin dengan 2 firma pelaburan menjelang perpindahan penyenaraian ke Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ICT Zone Asia meterai perjanjian taja jamin dengan 2 firma pelaburan menjelang perpindahan penyenaraian ke Pasaran ACE

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 24 April – ICT Zone Asia Bhd (ICT Zone Asia),  memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd dan Kenanga Investment Bank Bhd, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam peralihan strategiknya ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Perjanjian itu menyokong hasrat syarikat untuk meneruskan tawaran awam permulaan (IPO) pada suku kedua 2025, selepas kejayaan penyenaraian di Pasaran LEAP sebelum ini.

 

Menurut ICT Zone Asia, langkah itu tujuan memperkukuh keyakinan terhadap asas perniagaan yang kukuh, meskipun dalam ketidaktentuan pasaran semasa.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tommy Lim Kok Kwang berkata, keputusan meneruskan IPO dalam persekitaran pasaran mencabar menunjukkan kekuatan pasukan ICT Zone Asia serta kestabilan pendapatan berulangnya.

 

"Permintaan terhadap rumusan pembiayaan teknologi semakin meningkat. Dana hasil IPO ini akan memperkukuh kapasiti kami untuk mendapatkan lebih banyak kontrak. 

 

"Kami berada pada landasan untuk mencapai kontrak belum dibilkan sebanyak RM500 juta dalam tempoh tiga tahun selepas penyenaraian," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, pemeteraian perjanjian itu turut melambangkan peralihan penting syarikat daripada Pasaran LEAP kepada Pasaran ACE, sekaligus memperkukuh asas pertumbuhan mampan ICT Zone Asia.

 

Pengarah Urusan Malacca Securities, Lim Chia Wei berkata, rekod kewangan dan strategi pertumbuhan syarikat menjadikan ICT Zone Asia sebagai calon IPO yang kukuh.

 

"Kami yakin penyenaraian ini menyediakan peluang jangka panjang kepada pelabur untuk menyertai sektor pembiayaan teknologi yang berkembang pesat," katanya.

 

Pandangan sama turut dikongsi Pengarah Eksekutif dan Ketua Perbankan Pelaburan Kumpulan & Perbankan Islam, Kenanga Investment Bank, Datuk Roslan Hj Tik.

 

"Rekod pendapatan cemerlang dan kedudukan strategik ICT Zone Asia menjadikan IPO ini tepat pada masanya," katanya.

 

Bagi IPO, ICT Zone Asia akan menerbitkan sehingga 133 juta saham biasa baharu, mewakili 16.72% daripada jumlah modal saham selepas diperbesarkan kepada 795.45 juta saham.

 

Daripada jumlah itu, 39.77 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, 4.14 juta saham dikhaskan untuk pengarah, pengurusan kanan dan kakitangan ICT Zone Asia, manakala 89.09 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera terpilih.

 

Sementara itu, 21 juta saham sedia ada akan dijual melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan Bumiputera.

 

Malacca Securities ialah penasihat utama, penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama, manakala Kenanga Investment Bank bertindak sebagai penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama. 

 

SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd pula merupakan penasihat kewangan bagi IPO itu.- DagangNews.com