KUALA LUMPUR 9 Jan – Iconic Worldwide Bhd (IWB) menjangkakan aliran pendapatan berulang yang stabil susulan perjanjian sewaan antara anak syarikat milik penuhnya, Iconic Medicare Sdn Bhd (IMED) dengan Aperion Technologies (Malaysia) Sdn Bhd bagi sebuah kilang di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.
Perjanjian itu dijangka menjana hasil sewaan sekurang-kurangnya RM60.5 juta sepanjang tempoh enam tahun pertama, berdasarkan kadar sewaan semasa RM840,000 sebulan.
Jumlah tersebut berpotensi meningkat kepada sekitar RM75 juta hingga RM76 juta sekiranya kadar sewaan disemak kepada RM1 juta hingga RM1.1 juta sebulan susulan peluasan tambahan ruang lantai seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Iconic Worldwide berkata bangunan kilang itu pada asalnya dibangunkan untuk aktiviti pembuatan sarung tangan.
Namun setelah operasi kilang diberhentikan pada tahun 2025, syarikat itu mengambil keputusan untuk menyewakannya supaya memperolehi aliran pendapatan kepada Kumpulan.
“Di bawah perjanjian tersebut, kadar sewaan ditetapkan pada RM840,000 sebulan, bersamaan RM3.50 bagi setiap kaki persegi berdasarkan keluasan boleh sewa kira-kira 245,000 kaki persegi.
“Tempoh awal perjanjian adalah selama tiga tahun, dengan pembaharuan automatik untuk tempoh tiga tahun berikutnya,” katanya dalam makluman tersebut.
Aperion Technologies (Malaysia) merupakan rakan kongsi pembuatan kontrak bagi modul optik, menyediakan rumusan pengeluaran berkelajuan tinggi dan berorientasikan AI kepada jenama modul optik global, penyedia perkhidmatan awan serta vendor peralatan telekomunikasi.
Lembaga pengarah IWB berkata perjanjian tersebut dijangka memberikan sumber pendapatan dan aliran tunai baharu yang positif serta konsisten kepada IMED sepanjang tempoh perjanjian, sekali gus memberi kesan positif kepada prestasi kewangan kumpulan.
Perjanjian ini tertakluk kepada kelulusan daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Kumpulan berkata risiko utama perjanjian ini adalah keupayaan penyewa untuk mengekalkan pembayaran sewaan tepat pada masanya, terutamanya sekiranya berlaku kelembapan ekonomi yang boleh menjejaskan prestasi operasi Aperion.
Bagaimanapun, IMED akan memantau secara berterusan pematuhan pembayaran sewaan.
Lembaga pengarah turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam perjanjian tersebut, dan menyifatkannya sebagai langkah strategik yang selari dengan kepentingan kumpulan serta pemegang saham. - DagangNews.com







