Hutang luar Malaysia cecah RM1.39 trilion bersamaan hampir 69% KDNK setakat akhir 2025 — BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hutang luar Malaysia cecah RM1.39 trilion bersamaan hampir 69% KDNK setakat akhir 2025 — BNM

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 31 Mac — Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan hutang luar Malaysia meningkat kepada RM1.39 trilion setakat akhir 2025, bersamaan 68.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Menurut bank pusat itu, jumlah tersebut naik berbanding RM1.35 trilion atau 69.9% KDNK pada 2024, sekali gus menimbulkan perhatian terhadap peningkatan komitmen luaran meskipun nisbah terkawal.


Peningkatan hutang luar jelasnya, didorong pembelian sekuriti hutang domestik oleh pelabur bukan pemastautin, khususnya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), serta peningkatan pinjaman antara bank.

 

 

 

 

 


"Ini mencerminkan aliran masuk melalui Labuan International Business and Financial Centre (LIBFC), serta menonjolkan peranan sebagai hab kewangan luar pesisir,” kata BNM dalam Laporan Tahunan 2025.


Selain itu, peningkatan turut disumbang oleh pinjaman antara syarikat dalam sektor perkhidmatan ICT, khususnya bagi membiayai pelaburan pusat data, selaras pertumbuhan ekonomi digital negara.


Bagaimanapun, kesan kenaikan sebahagiannya diimbangi oleh faktor penilaian kadar pertukaran susulan pengukuhan ringgit berbanding beberapa mata wang utama termasuk dolar Amerika Syarikat (AS).


Dalam perkembangan berasingan, BNM memaklumkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing menurun kepada 1.4% dan 2.0% pada Februari 2026, berbanding 1.6% dan 2.3% pada bulan sebelumnya.

 

ringgit


"Penurunan ini didorong oleh inflasi teras yang sederhana, termasuk kos perkhidmatan penstriman dan sewaan, walaupun sebahagian diimbangi kenaikan harga komunikasi mudah alih dan elektrik," kata BNM.


Sektor perkilangan pula jelasnya, mencatat pertumbuhan kukuh dengan Indeks Pengeluaran Industri naik 7.3%, dipacu segmen eksport seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta jentera dan peralatan.


Dari sudut pembiayaan, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang 5.6%, dijana pinjaman perniagaan bagi modal kerja serta pelaburan merentas segmen perusahan kecil dan sederhana (PKS).


Dalam sektor perbankan, BNM menegaskan sistem kekal kukuh dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai pada 149.4%, manakala kualiti aset stabil dengan nisbah pinjaman terjejas kasar berada pada 1.4%.

 

 

 

 

 


"Sementara itu, pasaran kewangan domestik dipengaruhi ketidaktentuan global termasuk isu tarif AS dan ketegangan geopolitik Timur Tengah, namun ringgit mengukuh 1.5% berbanding dolar AS," katanya.


Keadaan ini disokong data ekonomi domestik yang positif, manakala asas ekonomi dan sistem kewangan Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran luaran yang berterusan. - DagangNews.com