Hutang baharu negara catat penurunan konsisten sejak tahun 2022 - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hutang baharu negara catat penurunan konsisten sejak tahun 2022 - Amir Hamzah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Kerajaan berjaya menurunkan jumlah hutang baharu negara secara konsisten sejak mengambil alih pentadbiran negara, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau berkata, pinjaman baharu berkurang daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023 dan RM76.8 bilion pada 2024.

 

“Selain itu, reformasi fiskal di bawah pentadbiran kerajaan MADANI juga berjaya menurunkan kadar defisit secara konsisten setiap tahun.

 

“Ia turun beransur-ansur iaitu daripada 6.4% pada tahun 2021 kepada 5.5% (2022); seterusnya kepada 5% pada 2023 dan 4.1% (2024).

 

“Dalam Belanjawan 2025, kerajaan menyasarkan pengurangan defisit fiskal kepada 3.8% daripada KDNK, sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memastikan defisit fiskal pada kadar 3% dapat dicapai dalam tempoh jangka sederhana seperti yang ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023,” katanya dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau berkata, penurunan hutang baharu itu adalah satu kejayaan buat kerajaan kerana mula mentadbir negara ketika Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran.

 

“Dari segi dalaman, negara mewarisi hutang melebihi RM1 trilion, di mana 16% hasil negara hanya digunakan untuk membayar faedah hutang.

 

“Selain itu, hasil cukai rendah berbanding negara serantau, manakala perbelanjaan tinggi termasuk subsidi pukal yang tidak menyasarkan golongan yang sepatutnya.

 

“Dari segi luaran pula, Malaysia berhadapan dengan ketidaktentuan geopolitik global serta dasar tarif Amerika Syarikat dan langkah timbal balas negara-negara lain. Kesemua faktor ini menambah tekanan terhadap ekonomi negara dan menuntut pengurusan fiskal yang lebih berhemah dan strategik oleh kerajaan baharu,” katanya.

 

Tambahnya, selagi mana kerajaan mengamalkan perbelanjaan defisit, selagi itulah jumlah hutang akan terus meningkat.

 

“Dengan defisit yang ditanggung, jumlah hutang telah meningkat daripada RM1,172.5 bilion pada akhir 2023 kepada RM1,304.2 bilion pada akhir Jun 2025 atau bersamaan dengan 63.9% kepada KDNK.

 

“Namun, seperti yang dijelaskan peningkatan jumlah hutang adalah untuk membiayai defisit yang digunakan untuk perbelanjaan pembangunan bagi manfaat rakyat,” katanya.

 

Tambahnya, dari aspek pengurusan hutang, kerajaan tidak pernah gagal dalam memenuhi obligasi bayaran faedah dan bayaran balik hutang yang matang pada masa yang ditetapkan.

 

“Malah, kerajaan sentiasa memastikan paras hutang sentiasa berada di bawah had statutori yang ditetapkan dalam perundangan berkaitan,” katanya.

 

Amir Hamzah menegaskan, langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur, peluasan asas hasil melalui cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pengoptimuman perbelanjaan awam menjadi strategi utama bagi mengurangkan defisit dan hutang baharu.

 

“Kerajaan juga menekankan pinjaman hanya untuk projek pembangunan berimpak jangka panjang dan memanfaatkan pasaran modal tempatan bagi meminimumkan risiko tukaran asing.

 

“Kerangka Ekonomi MADANI dijadikan panduan dasar pembangunan negara secara menyeluruh dan lestari, termasuk pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) bagi membina ekonomi berpendapatan tinggi serta masyarakat yang lebih makmur,” katanya. - DagangNews.com