KUALA LUMPUR 11 Jun — HSS Engineers Berhad menjelaskan yang ia hanya bertindak sebagai perunding reka bentuk untuk projek sambungan bermasalah Lebuhraya Maju atau lebih dikenali dengan nama MEX II.
Naib Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Kunasingam Sittampalam berkata, firma itu tidak pernah pun terlibat dalam apa-apa pengeluaran dana daripada pembiayaan sukuk bernilai RM1.3 bilion untuk projek tersebut.
Peranan kumpulan perunding kejuruteraan itu katanya, lebih kepada kerja-kerja penyeliaan reka bentuk dan pembinaan, termasuk memperakui isu pembayaran yang berkaitan dengan kos pembinaan semata-mata.
"Terdapat banyak bahagian untuk kemudahan pinjaman termasuk sebelum operasi dan sampingan. Kami hanya memperakui pembayaran untuk kos pembinaan projek," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
MEX II yang sepatutnya siap pada 2019, kini dalam siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pembinaannya terhenti dengan kemajuan projek dilaporkan cuma mencecah 89 peratus .
Jajaran lebuh raya tersebut melibatkan sambungan 18 kilometer dari persimpangan MEX Putrajaya ke KLIA namun pemegang konsesi projek, MEX II Sdn Bhd, mula memungkiri isu pembayaran sukuk pada 2021.
Anak syarikat Maju Holdings Sdn Bhd berkenaan sejak itu telah mengalami banyak kali kegagalan percubaan penstrukturan dan pada Mei 2025, SPRM mendedahkan bahawa ia telah melancarkan tiga penyiasatan.
Dalam pada itu, Kunasingam turut menekankan bahawa HSS Engineers telah mencatatkan sebanyak lebih RM10 juta dalam akaun kumpulan pada 2022 berkaitan dengan yuran yang belum dibayar daripada MEX II.
SPRM setakat ni telah menahan sembilan orang dan merekodkan 31 kenyataan selain juga merampas wang tunai RM2.9 juta, kenderaan mewah bernilai RM900,000, dan akaun bank beku berjumlah RM34 juta.
Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, ia meliputi siasatan rasuah termasuk RM361 juta dalam tuntutan dipalsukan serta RM416 juta dalam pendedahan palsu berkaitan hasil sukuk dan pinjaman bank.
Tuntutan palsu yang didakwa SPRM itu dikaitkan dengan sukuk RM1.3 bilion dikeluarkan pada 2016 bagi membiayai projek MEX II manakala tambahan RM12 juta dalam dakwaan rasuah juga sedang disiasat. - DagangNews.com








