KUALA LUMPUR 15 Mac - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menyumbang lebih RM130,000 kepada 1,000 penerima melalui program Ziarah MADANI Ihya Ramadan 2026, sebagai usaha membantu golongan memerlukan dan memperkukuh hubungan komuniti sempena bulan Ramadan.
Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara dan disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan.
Antara bantuan yang diagihkan ialah 700 bekas bubur lambuk dan 1,000 Bakul MADANI berisi barangan keperluan asas kepada keluarga yang memerlukan.
Sebahagian daripada jumlah sumbangan turut disalurkan dalam bentuk bantuan tunai berjumlah RM20,000 kepada tiga rumah anak yatim dan sebuah pusat tahfiz, sebagai sebahagian komitmen berterusan HRD Corp terhadap kebajikan masyarakat.


Dato’ Sri Ramanan berkata inisiatif seperti Ziarah MADANI Ihya Ramadan mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi teras Malaysia MADANI, selain menekankan pelaksanaan program kebajikan, peningkatan ekonomi melalui pekerjaan dan program TVET serta perlindungan sosial bagi pekerja gig menerusi akta baharu.
“Sumbangan ini bukan sahaja menzahirkan keprihatinan masyarakat, malah selari dengan usaha kerajaan memperkukuh perlindungan sosial dan peluang ekonomi untuk rakyat,” katanya.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz berkata program ini selari dengan misi agensi untuk membangunkan modal insan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pasaran kerja tetapi juga kesejahteraan komuniti.
“Pembangunan kemahiran bukan sekadar soal pekerjaan, tetapi membuka peluang kehidupan yang lebih baik kepada rakyat,” kata beliau.
Program turut diisi dengan aktiviti penyediaan dan agihan bubur lambuk, majlis berbuka puasa bersama penduduk serta sesi tazkirah untuk memupuk perpaduan setempat.
Turut hadir ialah pegawai kanan Kementerian Sumber Manusia, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Dr. Mohd Shaharin Umar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Sutekno Ahmad Belon, selain Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid serta pemimpin komuniti dan wakil media.
HRD Corp menyatakan komitmen untuk meneruskan inisiatif yang menggabungkan pembangunan kemahiran dan penglibatan komuniti bagi memperkasa peluang ekonomi dan sosial buat rakyat. - DagangNews.com








