KUALA LUMPUR 14 Jan – Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) meluluskan sebanyak RM2.62 bilion bantuan kewangan bagi aktiviti latihan dan pembangunan kemahiran sepanjang tahun 2025, meningkat 32% berbanding 2024, sejajar dengan keperluan industri yang semakin mencabar serta peralihan pantas landskap pekerjaan.
HRD Corp dalam satu kenyataan memaklumkan, lebih 2.8 juta tempat latihan direkodkan menerusi program dan skim yang ditadbirkan pada 2025, meningkat 3% berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan permintaan berterusan terhadap latihan berasaskan kemahiran dan kebolehkerjaan.
Sektor pembuatan muncul sebagai penyumbang terbesar dengan lebih 795,000 tempat latihan, selari dengan peranan sektor itu sebagai antara pemacu utama ekonomi negara yang menyumbang sekitar 23% hingga 25% kepada KDNK Malaysia. Sehingga November 2025, sektor berkenaan merekodkan kira-kira 2.4 juta pekerja, merangkumi subsektor elektrik dan elektronik, makanan dan minuman serta petroleum dan kimia.
Pada masa sama, sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital negara. HRD Corp meluluskan RM130 juta bantuan kewangan di bawah inisiatif Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), dengan lebih 103,000 tempat latihan direkodkan merentas sektor ekonomi digital dan ICT. Sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pula diunjurkan meningkat kepada 25% pada 2025.

Menurut HRD Corp, tumpuan pembangunan kemahiran kini tidak lagi bersifat kuantitatif semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada hasil latihan yang praktikal, sejajar dengan keperluan majikan, mudah diakses komuniti serta relevan dengan hala tuju masa depan tenaga kerja Malaysia dan rantau ASEAN.
Dalam usaha memastikan keterangkuman, seramai 18,137 rakyat Malaysia menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran yang dibiayai menerusi gabungan geran kerajaan dan dana dalaman HRD Corp. Antaranya termasuk Malaysia Indian Skills Initiative (MISI) yang telah melatih 1,108 peserta, dengan tambahan 442 pelatih dijangka dilatih dalam fasa seterusnya.
HRD Corp turut bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Pengangkutan (MoT) menerusi inisiatif Professional Advancement in Trucking & Haulage (PATH) bagi memperkukuh sektor logistik dan pengangkutan. Program itu menyasarkan 1,000 peserta di seluruh negara, dengan 156 pelatih berjaya dilatih pada 2025.

Di Sarawak, kolaborasi bersama Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) menyaksikan kira-kira 427 pelatih menjalani latihan berasaskan kompetensi dan pensijilan, disokong oleh majikan yang menyediakan peluang pekerjaan.
Bagi memperkukuh ekosistem latihan inklusif, HRD Corp melalui Inisiatif Transformasi Pasaran Latihan (TMT) telah melaksanakan lapan sesi Train-the-Trainer yang memberi manfaat kepada 134 orang kurang upaya (OKU), manakala melalui Pusat Latihan Pembangunan Kemahiran (PLPK), seramai 9,929 peserta dilatih dan 4,210 penerima manfaat komuniti dicapai sepanjang 2025.
Selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, HRD Corp bersama KESUMA menerajui ASEAN Year of Skills (AYOS 2025) yang memuncak dengan penganjuran Global Skills Forum 2025 dan ASEAN Forum of Manpower Ministers for Human Capital Development, dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Sementara itu, acara tahunan National Training Week (NTW) 2025 mencatat lonjakan ketara dengan 3.74 juta penyertaan, berbanding 375,817 pada 2024, sekali gus memperlihatkan peningkatan minat orang awam dan industri terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
Dari sudut pengurusan kewangan, HRD Corp memaklumkan aset di bawah pengurusan meningkat 3% kepada RM4.16 bilion, dengan portfolio pelaburan menjana pulangan RM215 juta atau ROI 5.35%, mencerminkan tadbir urus dan pengurusan risiko yang berdisiplin.
Mengulas hala tuju ke hadapan, HRD Corp berkata tumpuan pada 2026 akan diberikan kepada pengukuhan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam latihan serta mempercepatkan pembentukan tenaga kerja Malaysia yang berkemahiran tinggi, selari dengan agenda pertumbuhan inklusif dan daya saing ekonomi negara. - DagangNews.com








