HRD Corp berjaya selesaikan 'reset' organisasi, beralih ke pelaksanaan dan perkukuh tadbir urus | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HRD Corp berjaya selesaikan 'reset' organisasi, beralih ke pelaksanaan dan perkukuh tadbir urus

SHAMIR Aziz berinteraksi bersama warga kerja HRD Corp dalam sesi town hall mengenai hala tuju organisasi dan penambahbaikan operasi.
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 AprilHuman Resource Development Corporation (HRD Corp) kini memperketat kawalan ke atas tuntutan latihan dan penggunaan levi susulan timbul beberapa isu pemantauan sebelum ini.


Ketua Eksekutifnya, Datuk Shamir Aziz berkata, tindakan itu susulan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) ini berjaya melengkapkan proses penstrukturan semula organisasi secara menyeluruh.


Langkah berkenaan ujar beliau, termasuk mewajibkan kelulusan awal diperoleh sebelum sebarang latihan dilakukan, berbanding amalan terdahulu yang membenarkan segala tuntutan dibuat selepas habis latihan. 


“‘Reset’ sudah selesai. Kita kini bergerak ke hadapan dengan disiplin, hala tuju yang jelas dan pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada usaha HRD Corp kini beralih pula ke fasa pelaksanaan.


Pembaharuan itu melibatkan struktur yang lebih jelas, disiplin operasi lebih ketat serta tadbir urus terus diperkukuhkan bagi menangani kekangan dari segi tahap pemantauan dan akauntabiliti kerja.

 

HRD Corp
WARGA kerja HRD Corp menghadiri sesi town hall sebagai sebahagian daripada usaha transformasi dan kemas kini organisasi.


Penstrukturan sepanjang dua bulan lalu merangkumi penyusunan semula tadbir urus, pengurusan dan operasi, termasuk memperkukuh fungsi kritikal seperti perundangan, audit dan penguatkuasaan.


Menurut kenyataan HRD Corp, isu-isu legasi hasil dapatan audit dan penemuan kawal selia sebelum ini juga sebahagian besar diselesaikan dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.


"Langkah penambahbaikan turut melibatkan penyelarasan semula tenaga kerja berdasarkan kompetensi, selain memperkemas struktur operasi bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan," jelas agensi itu.

 

Pada masa sama, organisasi tersebut mengisi kekosongan jawatan utama termasuk Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Pegawai Operasi, selain mengetengahkan bakat dalaman ke peringkat kepimpinan.


HRD Corp tambahnya, turut memuktamadkan perancangan belanjawan yang diluluskan Lembaga Pengarah, termasuk peruntukan strategik bagi mempercepatkan agenda pembangunan tenaga kerja negara.

 

HRD Corp
SHAMIR Aziz banyak memberi penekanan keutamaan dalam memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kecekapan operasi.


Perkembangan tersebut selaras dengan kerangka MADANI yang dipacu oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, dengan fokus utama kini adalah memastikan pelaksanaan yang berkesan.


“Kami yakin HRD Corp tidak lagi akan ditakrifkan oleh cabaran masa lalu, tetapi oleh keupayaannya untuk menyampaikan hasil dalam situasi persekitaran yang lebih mencabar ketika ini,” kata Shamir.


Segala perancangan yang digariskan turut dijangka dapat memulihkan keyakinan serta memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja dan perniagaan Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan global.


Dengan tadbir urus yang kukuh dan hala tuju jelas, HRD Corp kini dalam kedudukan lebih baik untuk meningkatkan daya tahan tenaga kerja serta menyokong keperluan industri negara. - DagangNews.com