Hospital Utar dirasmikan Sultan Perak, menampilkan perubatan Barat dan tradisional, 350 katil pesakit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hospital Utar dirasmikan Sultan Perak, menampilkan perubatan Barat dan tradisional, 350 katil pesakit

KUALA LUMPUR 20 Feb - Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman di Kampar dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

 

Baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng dan Pengasas Berjaya Group Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.

 

Hospital yang tidak berasaskan keuntungan itu dan menelan belanja kira-kira RM300 juta, mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos 2023, kata pengerusi lembaga hospital itu Tan Sri Dr Chuah Hen Teik pada Rabu.

 

 

UTAR

 

 

Beliau berkata hospital itu dibangunkan secara berperingkat, dengan kompleks permulaan terdiri daripada 250 katil untuk perubatan Barat dan 100 katil untuk perubatan tradisional dan pelengkap.

 

“Kemudahan itu termasuk rawatan pesakit luar dan dalam, pusat diagnostik dan rawatan, perkhidmatan sokongan perubatan dan bukan perubatan, kemudahan penyelidikan dan pendidikan.

 

"Terdapat peruntukan untuk menambah 250 katil tambahan pada masa hadapan apabila diperlukan," kata Dr Chuah dalam ucapan perasmiannya.

 

 

UTAR

 

UTAR

 

 

"Pasukan perubatan terdiri daripada pakar residen dalam perubatan dalaman, ortopedik dan traumatologi, obstetrik dan ginekologi, psikiatri, pediatrik, pembedahan am, perubatan kecemasan, dan pembedahan pergigian dan mulut.

 

“Perkhidmatan pediatrik kami misalnya, telah diperluaskan merangkumi klinik petang bagi memudahkan ibu bapa mendapatkan rawatan untuk anak mereka selepas waktu bekerja,” katanya.

 

“Sehingga Januari 2025, hospital telah merekodkan lebih 130,000 lawatan pesakit dan susulan,” tambahnya. - DagangNews.com