Hospital pengajar Unimas bernilai RM485.99 juta dijadual siap November 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hospital pengajar Unimas bernilai RM485.99 juta dijadual siap November 2026

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 6 Sept - Projek Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bernilai RM485.99 juta kini berjalan lebih awal daripada jadual, dengan tarikh siap disasarkan pada 12 November 2026.

 

Projek tersebut yang kini di fasa kedua, telah mencapai 66.17% kemajuan — tiga hari lebih awal daripada jadual asal. Hospital berkapasiti 300 katil ini dibangunkan melalui kaedah reka dan bina oleh Perbena Emas Sdn Bhd.

 

Projek tersebut dipantau oleh Pasukan Projek Khas 2 Jabatan Kerja Raya (JKR), kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

 

Apabila siap, kemudahan berkenaan dijangka memperkukuh infrastruktur pendidikan perubatan Unimas selain menjadi pusat perkhidmatan kesihatan baharu bagi penduduk di bahagian Samarahan, Kuching, Serian dan Sri Aman.

 

“Projek ini bukan sahaja mempertingkatkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran dalam bidang Perubatan dan Sains Kesihatan di Unimas, malah turut memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan selepas melakukan lawatan tapak hari ini.

 

 

Unimas

 

 

Fasa pertama projek — Pusat Kesihatan Prima (PKP) — telah disiapkan dan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi pada 13 Jun 2024.

 

PKP berfungsi sebagai pusat rawatan harian bagi kes bukan kritikal, dengan kemudahan termasuk bilik X-ray, klinik batuk, klinik mata, klinik warga, makmal perubatan serta bilik pemeriksaan.

 

Kemudahan sokongan yang disiapkan dalam fasa pertama merangkumi surau, pusat jagaan kanak-kanak, kafeteria, pondok pengawal, bangunan mekanikal dan elektrik serta tangki air berkedudukan tinggi.

 

Kementerian Kerja Raya memberi jaminan pemantauan berterusan melalui sesi libat urus dan pemeriksaan berkala bagi memastikan projek disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan.

 

Ahmad menegaskan pendekatan itu selaras dengan semangat Malaysia MADANI, yang mengutamakan penyampaian manfaat kepada warga universiti dan penduduk setempat secara lebih pantas. - DagangNews.com