IPOH 16 April - Hospital Pakar Ipoh, sebahagian daripada rangkaian hospital KPJ Healthcare Berhad, berjaya melaksanakan 3,000 pembedahan jantung terbuka sejak tahun 2000, sekali gus mencatat pencapaian penting dalam memperkukuh akses kepada rawatan jantung pakar di wilayah utara negara.
Pencapaian itu mencerminkan lebih dua dekad keupayaan berterusan dalam bidang kardiotorasik, disokong pasukan klinikal khusus, Dewan Bedah Kardiak khas serta Unit Rawatan Rapi Jantung (CICU) yang lengkap.
Hospital itu berkata, kira-kira 80% daripada prosedur yang dijalankan melibatkan pembedahan Coronary Artery Bypass Graft (CABG), manakala selebihnya membabitkan penggantian injap dan prosedur kardiotorasik kompleks lain.
Ramai pesakit turut mempunyai pelbagai keadaan perubatan yang memerlukan rawatan terselaras merentas kepakaran serta pengurusan perioperatif yang rapi.
Program itu diketuai Pakar Bedah Kardiotorasik Residen, Dr Ko Chung Sen, yang telah mengendalikan sebanyak 3,287 kes pembedahan jantung terbuka sepanjang kerjayanya, termasuk 3,000 kes di Hospital Pakar Ipoh.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pencapaian tersebut membuktikan kedalaman serta konsistensi kepakaran kardiotorasik yang dibangunkan kumpulan perubatan itu sejak sekian lama.
“Pencapaian 3,000 pembedahan jantung terbuka di Hospital Pakar Ipoh bukan sahaja mencerminkan jumlah prosedur, malah keupayaan mengendalikan kes kompleks dengan selamat di peringkat wilayah.
"Ia juga menunjukkan bagaimana Sistem Kesihatan KPJ menyokong penyampaian rawatan pakar melalui piawaian bersama, kerjasama multidisiplin dan pembangunan keupayaan berterusan,” katanya.
Komitmen perluas rawatan pakar di wilayah
Beliau berkata, pencapaian itu mengukuhkan komitmen KPJ Healthcare untuk memperluas perkhidmatan pakar lebih dekat dengan komuniti sejajar tujuan syarikat, iaitu “Care for Life”.

Sementara itu, Dr Ko Chung Sen berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha kolektif seluruh pasukan perubatan, sambil menegaskan setiap pembedahan memerlukan perancangan teliti, ketepatan tinggi dan koordinasi rapat, khususnya bagi pesakit berisiko tinggi atau mempunyai keadaan kompleks.
“Fokus kami kekal untuk memberikan rawatan yang selamat dan konsisten kepada setiap pesakit,” katanya.
Pengarah Perubatan Hospital Pakar Ipoh, Dr Luis Chen Shian Liang pula berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan gabungan kepakaran individu dan kekuatan institusi.
Menurut beliau, hospital itu terus melabur dalam kemudahan, teknologi serta pasukan multidisiplin yang diperlukan bagi mengurus kes kardiotorasik secara berkesan di Ipoh.
Hospital itu berkata, pencapaian tersebut menyerlahkan peranannya dalam membolehkan pesakit di wilayah utara menerima rawatan jantung lanjutan lebih dekat dengan kediaman mereka tanpa perlu ke Kuala Lumpur.
Kemajuan itu turut disokong usaha berterusan membina serta mengekalkan keupayaan klinikal, infrastruktur dan sokongan multidisiplin yang diperlukan bagi mengendalikan kes jantung kompleks secara selamat dan konsisten dari semasa ke semasa. - DagangNews.com








