Hospital Pakar Damansara 2 muncul hospital pertama Asia Tenggara perkenal teknologi HIFU bagi rawatan fibroid | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hospital Pakar Damansara 2 muncul hospital pertama Asia Tenggara perkenal teknologi HIFU bagi rawatan fibroid

Hospital Pakar Damansara 2 adalah hospital pertama di Asia Tenggara yang menawarkan teknologi Supine HIFU untuk rawatan fibroid
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Mei – Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2), sebahagian daripada rangkaian KPJ Healthcare Berhad menjadi hospital pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan teknologi canggih Supine HIFU untuk rawatan fibroid rahim wanita.

 

Ia juga meletakkan Malaysia sebagai antara negara terawal di rantau ini yang menawarkan teknologi rawatan fibroid tanpa pembedahan menggunakan kaedah Supine High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU).

 

Langkah itu membuktikan DSH2 terus memperkukuh perkhidmatan kesihatan wanita melalui kerjasama strategik bersama Delta Medisains (M) Sdn Bhd.

 

Ia adalah antara inisiatif untuk memberi tumpuan kepada pembangunan jangka panjang teknologi Supine HIFU di Malaysia, selain memperluaskan akses kepada rawatan moden yang lebih selamat, tidak melibatkan pembedahan besar dan tempoh pemulihan pesakit yang lebih cepat.

 

Inisiatif tersebut selaras dengan usaha berterusan kumpulan tersebut untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan wanita melalui inovasi klinikal, pembangunan kepakaran serta pendekatan rawatan berasaskan teknologi perubatan terkini.

 

Supine HIFU merupakan kaedah rawatan menggunakan gelombang ultrasound berintensiti tinggi untuk memusnahkan tisu fibroid tanpa perlu menjalani pembedahan terbuka.

 

Kaedah ini membolehkan rawatan dilakukan dengan lebih tepat, sambil mengurangkan kesan terhadap tisu sihat di sekelilingnya.

 

t
Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif Damansara Specialist Hospital 2, Dr Nor Liyana Khairuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah (Tengah) KPJ Healthcare, Hoo Ling Lee; Pengarah Urusan Delta Medisains, Hoh Jei Munn; dan Pengasas Bersama serta Pengarah Kewangan Delta Medisains, Joyce Law mengambil gambar kenangan selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama

 

t

 

Prosedur dilakukan dengan pesakit membaringkan badan menghadap ke atas yang dianggap lebih selesa dan semula jadi, selain membantu doktor menjalankan rawatan dengan lebih stabil dan terkawal.

 

DSH2 kini menjadi hospital pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan Supine HIFU untuk rawatan fibroid rahim, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara negara terawal di rantau ini yang menawarkan teknologi rawatan tersebut.

 

“Pengalaman klinikal awal bagi kes terpilih menunjukkan hasil yang memberangsangkan, termasuk tempoh penginapan di hospital yang lebih singkat berbanding kaedah pembedahan konvensional.

 

“Selain itu, pesakit yang menjalani rawatan ini turut menunjukkan kadar pemulihan yang lebih cepat, membolehkan mereka kembali menjalani rutin harian dalam tempoh masa yang lebih singkat,” kata DSH2.

 

Kerjasama strategik antara DSH2 dan Delta Medisains ini akan dilaksanakan selama lima tahun, dengan fokus kepada pembangunan teknologi, pengukuhan keupayaan klinikal serta pengembangan penggunaan Supine HIFU di Malaysia.

 

Ia turut merangkumi usaha dalam bidang pendidikan perubatan, latihan teknikal serta sokongan klinikal bagi memastikan teknologi ini dapat digunakan secara selamat, berkesan dan mengikut standard piawaian perubatan yang tinggi.

 

Program ini diketuai oleh Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi DSH2, iaitu Dr Liew Yen Eit dan Dr Haliza Kamarudin dengan sokongan pasukan pelbagai disiplin yang memberi tumpuan khusus kepada penjagaan kesihatan wanita.

 

t
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan (tujuh dari kiri) bersama wakil-wakil dari KPJ Healthcare, Delta Medisains dan Pakar Obstetrik dan Ginekologis DSH 2, Dr Liew Yen Eit (tujuh dari kanan) dan Dr Haliza Kamarudin (enam dari kanan)
 

 

t
Chin Keat Chyuan menyampaikan ucaptama beliau di majlis pelancaran HIFU di Hospital Pakar Damansara 2

 

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata perkembangan teknologi ini mencerminkan perubahan keperluan dalam penjagaan kesihatan moden yang kini tidak hanya menumpukan kepada keberkesanan rawatan semata-mata.

 

Beliau berkata, inovasi seperti Supine HIFU membolehkan pesakit menerima rawatan yang lebih mesra tanpa pembedahan besar serta meningkatkan kualiti pengalaman rawatan secara keseluruhan.

 

“Supine HIFU di DSH2 menunjukkan bagaimana inovasi bersasar boleh memperkukuh penjagaan kesihatan wanita serta meningkatkan hasil klinikal dan pengalaman pesakit secara keseluruhan.

 

“Jangkaan pesakit pada masa kini semakin berubah dengan penekanan lebih tinggi terhadap pemulihan yang cepat, mengurangkan gangguan terhadap kehidupan harian serta rawatan yang lebih sesuai dengan keperluan individu.

 

“Lebih penting, inovasi dalam bidang kesihatan mesti mempunyai tujuan klinikal yang jelas. Ia perlu diterjemahkan kepada penambahbaikan sebenar dalam penyampaian penjagaan kesihatan, hasil rawatan serta kualiti hidup pesakit,” katanya.

 

t

 

Majlis pelancaran kerjasama itu turut dihadiri rakan industri kesihatan, wakil syarikat insurans serta agensi pelancongan kesihatan dari dalam dan luar negara yang mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap teknologi rawatan wanita di rantau ini.

 

Perkembangan ini turut memperkukuh kedudukan DSH2 dalam ekosistem penjagaan kesihatan serantau, khususnya dalam bidang rawatan wanita berteknologi tinggi yang semakin mendapat perhatian pesakit antarabangsa.

 

Selain itu, inisiatif ini juga selaras dengan hala tuju KPJ Healthcare Berhad melalui Sistem Kesihatan KPJ yang menggabungkan amalan klinikal, pendidikan serta penyelidikan dan inovasi dalam satu ekosistem kesihatan bersepadu.

 

DSH2 sebelum ini turut menerima pengiktirafan sebagai Hospital Pakar Terbaik (Wanita) – Malaysia di Anugerah Healthcare Asia 2026, mengukuhkan reputasinya sebagai antara pusat rujukan utama dalam penjagaan kesihatan wanita.

 

Secara keseluruhannya, kerjasama strategik ini dijangka membuka lembaran baharu dalam rawatan fibroid di Malaysia serta mengukuhkan peranan KPJ Healthcare sebagai peneraju inovasi dalam sektor penjagaan kesihatan swasta di rantau ini. - DagangNews.com