KUALA LUMPUR 3 Mac - Honda Malaysia memperkenalkan dua varian hibrid dalam barisan model CR-V, menandakan langkah penting dalam strategi syarikat untuk mengembangkan penguasaan kenderaan elektrik di pasaran domestik.
CR-V baharu kini ditawarkan dalam varian e: HEV E dan e: HEV RS sebagai model utama, selain varian 1.5L turbo V. Ia merupakan kali pertama dua pilihan hibrid disediakan dalam satu rangkaian model Honda di Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Narushi Yazaki berkata, “CR-V telah lama menjadi model utama syarikat dan tunjang kejayaan Honda Malaysia".
"Tahun ini, kami meningkatkan tarikan model ini dengan varian hibrid baharu, sekali gus menekankan komitmen berterusan kami untuk menjadikan teknologi hibrid Honda lebih mudah diakses oleh lebih ramai pelanggan, sambil mempercepat pertumbuhan penguasaan hibrid kami di pasaran Malaysia.”
Kedua-dua varian hibrid dikuasakan oleh enjin e: HEV 2.0L yang menghasilkan 184PS dan 335Nm tork. Sistem ini secara automatik menukar antara EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive bergantung kepada keadaan pemanduan, serta termasuk Individual Drive Mode untuk pengalaman pemanduan yang boleh disesuaikan.


Untuk semua varian, CR-V kini dilengkapi sistem Audio Paparan Maju 9-inci dengan integrasi Google Audio Services, fungsi Digital Key, serta Blind Spot Information dan Cross Traffic Monitor.
Fungsi Digital Key membolehkan pemilik mengunci, membuka kunci, dan menghidupkan kenderaan menggunakan peranti mudah alih melalui aplikasi Honda CONNECT.
Dari segi harga, CR-V e: HEV RS ditawarkan pada RM195,900, varian turbo V pada RM181,900, manakala e: HEV E pada RM178,200, atas jalan tanpa insurans.
Pelancaran ini menekankan usaha Honda Malaysia untuk meluaskan penerimaan kenderaan hibrid sambil memperkukuh teknologi dan ciri keselamatan dalam segmen C-SUV. - DagangNews.com








