Hibiscus dijangka catat rekod keuntungan FY27 sehingga RM860 juta, prospek dividen lebih kukuh - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hibiscus dijangka catat rekod keuntungan FY27 sehingga RM860 juta, prospek dividen lebih kukuh - CGSI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mei - Prospek keuntungan dan dividen Hibiscus Petroleum Berhad dijangka terus mengukuh bagi tahun kewangan 2027 (FY27F), didorong peningkatan pengeluaran minyak dan gas selain harga jualan komoditi yang lebih tinggi, menurut CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Hibiscus mengumumkan dividen interim sesaham (DPS) sebanyak 3 sen bagi suku ketiga FY26, menjadikan jumlah DPS terkumpul bagi tempoh sembilan bulan FY26 kepada 7 sen.

 

Bagi FY26F, Hibiscus memberi panduan pembayaran DPS sebanyak 10 sen sesaham, bersamaan hasil dividen 4.7% serta nisbah pembayaran 23% berdasarkan unjuran pendapatan sesaham (EPS).

 

Sebagai perbandingan, syarikat itu sebelum ini mengumumkan DPS FY25 sebanyak 9 sen dengan hasil dividen 4.3%.

 

CGS International menjangkakan Hibiscus mampu mencatat DPS FY27F setinggi 20 sen sesaham, mewakili hasil dividen sekitar 9.5%, susulan lonjakan keuntungan bersih teras yang diunjur meningkat 168% tahun ke tahun kepada RM860 juta.

 

"Sekiranya direalisasikan, ia bakal menjadi keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat selepas keuntungan teras FY26F diunjur berkembang 179% tahun ke tahun.

 

"Prestasi lebih kukuh itu dijangka disokong oleh peningkatan harga jualan minyak dan gas susulan ketegangan geopolitik di Iran sejak Februari 2026, selain pertumbuhan pengeluaran yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Antara pemacu utama pertumbuhan termasuk projek Low Pressure Compressor di Brunei, projek Teal West di Anasuria dan projek water flood di North Sabah yang dijangka mula menyumbang kepada pengeluaran sekitar akhir FY26F dan awal FY27F.

 

Secara keseluruhan, jumlah jualan dan pengeluaran Hibiscus dijangka meningkat lebih 30% tahun ke tahun.

 

Susulan prospek lebih positif itu, CGSI mengekalkan saranan “TAMBAH” terhadap saham Hibiscus dengan menaikkan harga sasaran (TP) berasaskan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF) kepada RM2.85.

 

Antara pemangkin utama penilaian semula saham termasuk prestasi kewangan kukuh bagi 4QFY26F dan FY27F, pertumbuhan dividen yang lebih agresif serta potensi kemasukan pelabur strategik baharu.

 

Bagaimanapun, risiko utama kepada prospek syarikat termasuk kemungkinan kejatuhan mendadak harga minyak dan gas sekiranya konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran berjaya diselesaikan serta Selat Hormuz dibuka semula sepenuhnya. - DagangNews.com