Hiap Teck dijangka terus catat prestasi suram pada suku keempat–HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hiap Teck dijangka terus catat prestasi suram pada suku keempat–HLIB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai – Prestasi Hiap Teck Venture Bhd iaitu syarikat pengimport, pemborong dan pengedar produk keluli dijangka kekal suram sehingga suku keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Ia berikutan sentimen lemah secara berterusan dalam harga keluli global, ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat dan kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur dalam negara.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun keuntungan teras syarikat mungkin terjejas, ia dapat dikurangkan melalui sumbangan stabil daripada segmen perancah Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB) kerana pihak pengurusan sedang meningkatkan penggunaan kapasiti kilang 'hot-rolled coil' (HRC).

 

"Kami menyemak semula unjuran keuntungan teras bagi FY25 hingga FY27 dengan pengurangan masing-masing sebanyak 3.3%, 0.9% dan 3.8% bagi mencerminkan jangkaan paras  jualan yang lebih rendah.

 

"Bagi tempoh sembilan bulan berakhir FY25 (9MFY25), keuntungan bersih teras Hiap Teck susut 42.9% kepada RM47 juta. 

 

"Penurunan ini berlaku walaupun ESSB mencatat peningkatan sumbangan hasil, namun ia telah diimbangi oleh penyusutan margin dalam segmen perdagangan dan hiliran, kesan daripada harga jualan yang lemah dan kuantiti rendah," menurut firma penyelidikan itu.

 

ESSB mencatat keuntungan teras sebanyak RM71.1 juta dalam tempoh sama, meningkat 13.6% berbanding tahun lalu, disokong oleh pertambahan jualan yang mampu mengatasi kesan daripada kejatuhan harga.

 

Peningkatan prestasi ESSB ini didorong oleh kapasiti yang lebih tinggi sejak awal tahun 2024, selari dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk memperkukuh operasi huluan dan hiliran dalam industri keluli.- DagangNews.com