HI Mobility menang kontrak operasi Bas Muafakat Johor bernilai RM78 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HI Mobility menang kontrak operasi Bas Muafakat Johor bernilai RM78 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 FebHI Mobility Berhad memperoleh kontrak daripada Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dengan nilai keseluruhan RM78.15 juta di bawah program khas Bas Muafakat Johor.


Kumpulan pengangkutan tersebut berkata, tender baharu itu bagi mengendalikan perkhidmatan bas intracity dalam kawasan Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Kulai, Pengerang dan Mersing.


Selain itu, ia turut memaklumkan yang surat penganugerahan (LOA) rasmi untuk kontrak berkenaan sudah diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Handal Indah Sdn Bhd pada 26 Januari 2026.


"Projek ini akan berjalan selama tiga tahun dengan opsyen lanjutan selama dua tahun, bermula 1 Januari 2026 sehingga 31 Disember 2030," tambah HI Mobility dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Menurutnya lagi, projek bas percuma ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan, tanpa menjejaskan struktur modal atau pemilikan saham syarikat tersebut.


Di samping itu, projek berkenaan adalah dalam bidang perniagaan sedia ada syarikat, dan risiko utama dikenal pasti termasuk ketersediaan tenaga kerja, kecekapan operasi, dan lesen peraturan.


Bas Muafakat Johor diperkenalkan di negeri tersebut pada 2016 bermula dengan wilayah koridor pembangunan Iskandar Malaysia, sebelum diperluaskan di beberapa laluan lain di seluruh Johor.


"Lembaga Pengarah HI Mobility menegaskan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek ini," tambahnya.


Pada masa sama jelas kumpulan tersebut, projek pengangkutan awam ini dilihat selaras dengan kepentingan terbaik kumpulan berkenaan. - DagangNews.com