KUALA LUMPUR 14 Nov – HE Group Bhd memperolehi subkontrak bernilai RM56.6 juta daripada sebuah syarikat kejuruteraan, perolehan dan pengurusan pembinaan (EPCM) yang tidak didedahkan untuk menyediakan perkhidmatan elektrik bagi sebuah pusat data di Cyberjaya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HE Group berkata, kontrak itu ditandatangani anak syarikatnya, Hexatech Engineering Sdn Bhd selama lapan bulan dengan syarikat EPCM tersebut untuk kerja-kerja berkenaan.
“Kontrak itu pertama kali dinyatakan dalam surat arahan pada 27 Ogos, pada nilai asal RM56.7 juta
“Subkontrak itu dijangka menyumbang kepada pendapatan syarikat sepanjang tempoh lapan bulan tersebut,” katanya.
HE Group menjelaskan syarikat EPCM tersebut adalah milik pihak asing dan mempunyai kepakaran khusus dalam pelbagai bidang termasuk pembinaan, kejuruteraan awam, serta projek minyak dan gas luar pesisir.
Projek tersebut dijangka terus mengukuhkan kedudukan HE Group dalam pembangunan sektor pusat data apabila sekitar 80% daripada buku tender semasa kumpulan berkenaan yang bernilai RM700 juta terdiri daripada pelbagai projek berkaitan pusat data.
Perkembangan positif itu turut mencerminkan hala tuju strategik syarikat tersebut untuk memanfaatkan lonjakan permintaan dalam industri pusat data yang bernilai tinggi dengan pertumbuhan pantas.
Beberapa penganalisis sebelum ini meningkatkan unjuran pendapatan HE Group bagi FY25 hingga FY27 sebanyak purata 7% berikutan prospek tempahan kerja yang lebih baik.
HE Group dilihat berpandangan jauh mengenal pasti sektor pertumbuhan tinggi seperti pusat data dan ia diyakini bakal muncul sebagai peneraju baharu dalam rumusan teknikal infrastruktur digital negara. - DagangNews.com








