KUALA LUMPUR 4 Jun — HB Global Limited mencatatkan kenaikan 41% hasil kepada RM13.19 juta bagi suku kelima berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM9.22 juta pada tempoh suku yang sebelumnya.
Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, sebanyak 80% daripada jumlah perolehan tersebut disumbangkan oleh produk segmen makanan yang sedia untuk dihidangkan kepada pelanggan.
Pencapaian memberangsangkan yang dipacu pendapatan lebih tinggi itu membolehkan syarikat tersebut kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM0.34 juta bagi suku semasa daripada 4QFY26.
"Keuntungan bersih ini menunjukkan berlaku pemulihan secara ketara berbanding kerugian bersih sebanyak RM4.20 juta yang dicatatkan pada suku keempat berakhir 31 Disember 2025," kata HB Global.
Secara ringkas, keuntungan sebelum cukai (PBT) adalah RM0.32 juta, dengan sumbangan terbesar ialah segmen makanan sedia dihidangkan (80%), diikuti sayur-sayuran beku (14%), dan lain-lain (6%).
Bagi tempoh secara kumulatif selama 15 bulan berakhir 31 Mac 2026, kumpulan mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM59.46 juta, namun masih merekodkan kerugian bersih kira-kira RM4.33 juta.
Bagaimanapun tiada perbandingan kerana HB Global menukar akhir tahun kewangannya daripada 31 Disember 2025 kepada 30 Jun 2026, menjadikan tahun kewangan semasa merangkumi tempoh 18 bulan.
"Mengenai prospek masa depan, kumpulan menyatakan komitmen terus memperkukuh aliran pendapatan yang sedia ada di China sambil aktif mempelbagaikan perniagaan ke pasaran domestik," katanya.
Kumpulan terus fokus pada pengurusan kos berhemat, kecekapan operasi, dan penyesuaian strategik terhadap keadaan pasaran yang berkembang bagi menyokong prestasi jangka panjang. - DagangNews.com








