Hasil Press Metal berisiko ditekan akibat ringgit kukuh, RHB Research kekal saran ‘beli’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Press Metal berisiko ditekan akibat ringgit kukuh, RHB Research kekal saran ‘beli’

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Feb – Pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berpotensi menekan hasil Press Metal Aluminium Holdings Berhad memandangkan lebih 90% produknya itu dieksport.


Bagaimanapun, RHB Research terus mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM8.50 sesaham, sekali gus membayangkan potensi kenaikan 12% dalam jangka sederhana.


Menurut firma penyelidikan itu, setiap pengukuhan 2% ke atas ringgit berpotensi dalam mengurangkan pendapatan kumpulan berkenaan sekitar 5% sekiranya tiada langsung langkah lindung nilai dibuat.


"Ringgit dilaporkan mengukuh 9.3% tahun ke tahun (YoY) pada 2025 dan 4% lagi setakat tahun ini (YTD), namun kami menjangkakan Press Metal bakal mencatat prestasi positif," katanya dalam nota.


Ini jelas firma berkenaan, termasuk keuntungan bersih teras yang diunjur melebihi RM2 bilion buat pertama kali pada FY25, didorong harga aluminium lebih tinggi dan kos alumina pula semakin stabil.


RHB Research berkata, bagi keputusan 4Q25 yang dijadual diumumkan pada 26 Februari 2026, keuntungan bersih suku ke suku (QoQ) diunjur naik RM730 juta, dan membawa anggaran FY25 mencecah RM2.3 bilion.


Peningkatan itu katanya, turut dijangka disokong harga aluminium di Bursa Logam London (LME) yang meningkat 8% QoQ kepada AS$2,830 satu tan, manakala harga alumina susut 10% kepada AS$319 satu tan.


"Situasi positif berkenaan, sekali gus dijangka menurunkan nisbah kos alumina kepada aluminium untuk berlegar-legar sekitar 10% berbanding 13% pada tempoh 3Q25," jelas firma penyelidkan itu.


Secara tahunan, keuntungan FY25 diunjur melonjak 45% hingga 65%, disokong kenaikan harga aluminium LME 10% dan penurunan harga alumina 54%, meskipun ada diimbangi kos karbon anoda yang naik 38%.


RHB Research berkata, walaupun harga aluminium susut 7% dalam tempoh empat hari susulan isu yang melanda Rizab Persekutuan AS, prospek asas komoditi tersebut masih adalah kekal kukuh.


Penutupan loji 560,000 tan di Mozambique oleh South32 pada Mac 2026 dijangka mengukuhkan lagi keadaan penawaran stok Press Metal, sekali gus menyokong harga dan premium fizikal aluminium.


"Kami turut menekankan tiga faktor utama menyokong harga aluminium iaitu jangkaan dolar AS lebih lemah susulan potensi dua kali pemotongan kadar faedah dan harga tembaga kekal tinggi," katanya.


Selain itu jelas RHB Research, sepanjang tiga tahun lalu, harga aluminium mempunyai kaitan hubungan negatif sebanyak 0.73 dengan dolar AS dan korelasi positif 0.75 dengan harga tembaga global.


Penilaian saham Press Metal pada ketika ini tambahnya, dilihat masih menarik walaupun didagangkan dalam julat purata sejarah tiga tahun sekitar 22 hingga 23 kali nisbah harga kepada pendapatan.


Keadaan berkenaan, mengambil kira struktur kos rendah syarikat tersebut berbanding pemain di luar negara serta unjuran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) selama tiga tahun sebanyak 27%.


"TP yang diunjurkan adalah berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF) dan merangkumi premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) 8%," kata RHB Research. - DagangNews.com