Hasil Orgabio melonjak lebih 60% kepada RM40.7 juta pada 2QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Orgabio melonjak lebih 60% kepada RM40.7 juta pada 2QFY26

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Feb – Orgabio Holdings Berhad, pengeluar minuman pracampuran segera mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025 (2QFY26), didorong oleh permintaan berterusan daripada pemilik jenama pihak ketiga dan kecekapan pengeluaran yang lebih tinggi susulan pentauliahan kilang baharu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Orgabio berkata ia mencatatkan pendapatan sebanyak RM40.7 juta, meningkat 60.36%  daripada RM25.4 juta pada suku sama tahun lepas. 

 

“Permintaan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan pembuatan minuman pracampuran segera Kumpulan, terutama dari pasaran domestik, serta pengembangan jualan luar negara menyumbang kepada pertumbuhan ini.

 

“Keuntungan kasar meningkat 65.18% kepada RM6.8 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 110.29% kepada RM3.9 juta berbanding RM1.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

“Keuntungan bersih selepas cukai (PAT) meningkat 122.04% kepada RM2.8 juta daripada RM1.3 juta sebelumnya, mencerminkan leverage operasi yang lebih kukuh dan penyerapan margin yang lebih baik susulan peningkatan kapasiti pengeluaran,” kata Orgabio dalam makluman tersebut.

 

Secara kumulatif untuk enam bulan berakhir 31 Disember 2025 (1H FY2026), pendapatan Kumpulan naik 63.35% kepada RM79.8 juta berbanding RM48.8 juta tempoh sama tahun lepas. 

 

Keuntungan kasar berkembang 52.73% kepada RM13.4 juta, manakala PBT melonjak 112.96% kepada RM7.6 juta. 

 

PAT bagi 1HFY2026 meningkat 137.20% kepada RM5.5 juta daripada RM2.3 juta pada tempoh sama tahun lepas, menunjukkan momentum pendapatan yang stabil merentasi Q1 dan Q2.

 

Dari segi perbandingan berurutan, pendapatan Q2 meningkat 4.30% daripada RM39.1 juta pada Q1 FY2026, disokong oleh sumbangan luar negara yang lebih kukuh. 

 

t

 

Orgabio berkata kenaikan berterusan ini menunjukkan penyerapan kos pengeluaran yang stabil dan ketiadaan kerugian pertukaran asing yang direalisasikan seperti pada suku sebelumnya.

 

Setakat 31 Disember 2025, jumlah aset Orgabio berjumlah RM103.1 juta dengan ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM65.3 juta. 

 

Aset bersih sesaham naik kepada RM0.26 daripada RM0.24. Pinjaman berkurangan kepada RM7.6 juta berbanding RM10.4 juta, manakala tunai dan setara tunai meningkat kepada RM12.0 juta, disokong aliran tunai operasi yang lebih kukuh sebanyak RM7.9 juta sepanjang tempoh tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Orgabio, Ean Yong Hien Voon berkata 2QFY2026 menandakan satu lagi suku pertumbuhan pendapatan yang kukuh bagi Orgabio. 

 

“Peningkatan lebih 60% YoY mencerminkan permintaan stabil daripada pemilik jenama domestik dan antarabangsa, manakala penggunaan kilang yang lebih baik terus menyokong kecekapan dan keuntungan operasi.

 

“Kami optimis dengan aliran pesanan berterusan dan kekal fokus pada pengukuhan kecekapan pengeluaran, disiplin kos, serta pengembangan asas pelanggan serantau,” katanya.

 

Melangkah ke hadapan, industri pracampuran kopi dan minuman segera global dijangka terus berkembang, didorong oleh permintaan tinggi untuk penyelesaian minuman yang mudah, berfungsi dan premium. 

 

Asia Pasifik kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama, disokong oleh trend pembandaran dan gaya hidup pengguna yang berubah.

 

Kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan yang kompetitif dan halal terus membuka peluang eksport bagi pengeluar tempatan. - DagangNews.com