Hasil Mi Technovation diunjur naik 20% menjelang FY28, dipacu permintaan cip AI global – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Mi Technovation diunjur naik 20% menjelang FY28, dipacu permintaan cip AI global – PublicInvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Mei – Ledakan tinggi permintaan global terhadap cip kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor berprestasi tinggi dijangka terus memacu pertumbuhan kukuh Mi Technovation Berhad.


Berdasarkan perkembangan semasa tersebut, Public Investment Bank (PublicInvest) menaikkan unjuran hasil kumpulan berkenaan antara 8% sehingga 20%, bagi tahun kewangan 2027 dan 2028 kelak.


Firma penyelidikan itu berkata, momentum pertumbuhan syarikat semakin kukuh disokong peningkatan jualan mesin, dan lonjakan permintaan produk yang digunakan secara luas dalam industri cip global.


"Kami meramalkan Mi Technovation mencatat pertumbuhan keuntungan antara 20% hingga 25% tahun ke tahun (YoY) bagi keputusan suku pertama FY26 yang akan diumumkan pada 21 Mei 2026," jelasnya.


Tambah PublicInvest dalam nota analisisnya, momentum kukuh dijangka berterusan ke suku kedua 2026 didorong oleh faktor prestasi memberangsangkan dalam segmen peralatan dan bahan semikonduktor.


Justeru, ia menaikkan unjuran pendapatan FY27 hingga FY28 selepas mengambil kira jualan siri Mi yang lebih tinggi, dan sumbangan baharu daripada kilang pembuatan 'solder ball' di Senai, Johor.


Menurutnya, anak syarikat perniagaan bahan semikonduktor Mi Technovation dijangka berkembang 60% pada separuh pertama 2026 susulan kenaikan 40% harga jualan purata (ASP) 'solder ball' dipatenkan.


"Produk ini yang kelazimannya digunakan luas dalam industri semikonduktor global, kini sudah pun menjana lebih 56% daripada keseluruhan jumlah jualan 'solder ball' kumpulan berkenaan," ujar PublicInvest.

 

Mi Technovation_DagangNews

 

Katanya, peningkatan ASP itu dipacu kekurangan cip memori global, permintaan agresif terhadap cip unit pemprosesan grafik (GPU) serta kenaikan harga bahan mentah seperti perak, timah dan tembaga.


Jelas firma penyelidikan berkenaan, permintaan cip GPU pada masa ini terus melonjak kerana satu GPU memerlukan kira-kira 20,000 'solder ball' bagi tujuan penyambungan hubungan secara dalaman.


Dalam segmen peralatan semikonduktor pula, model Mi Quantum terus mencatat permintaan tinggi dalam kalangan pemain 'outsourced semiconductor assembly and test' (OSAT) antarabangsa di Taiwan.


"Mi Technovation menyasarkan penghantaran 150 unit Mi Series bagi FY2026 berbanding 131 unit tahun lalu, dan Mi Quantum dijangka menyumbang 60% daripada jumlah penghantaran keseluruhan," katanya.


Pada masa sama ujarnya, syarikat itu mempercepatkan pembangunan unit teknologi baharu melibatkan silicon carbide (SiC MOSFET), sistem rangkaian kuasa pintar dan platform pemanduan autonomi.


Keadaan tersebut tambah PublicInvest, menyebabkan jumlah tenaga kerja bagi dua unit baharu itu meningkat secara drastik kepada 320 orang berbanding hanya 50 kakitangan pada Disember 2025 lalu.


Sehubungan itu katanya, Mi Technovation akan memperuntukkan AS$11.3 juta (RM44 juta) pada tahun ini bagi usaha pembangunan makmal penyelidikan serta barisan pengeluaran di Taiwan dan China.


"Selain itu, segmen teknologi kenderaan kumpulan ini juga berpotensi menjana pendapatan sehingga AS$200 juta (RM800 juta) jika pengkomersialan berlaku lebih awal daripada jangkaan," jelasnya.


Oleh itu, PublicInvest mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM5.05 sesaham berdasarkan 33 kali pendapatan sesaham (EPS) FY27. - DagangNews.com