Hasil Kotra Industries susut 17% pada 4QFY24 kepada RM54 juta akibat permintaan produk farmaseutikal rendah  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Kotra Industries susut 17% pada 4QFY24 kepada RM54 juta akibat permintaan produk farmaseutikal rendah 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Kotra Industries Bhd mencatat hasil lebih rendah pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) sebanyak RM54 juta. 

 

Hasil tersebut mewakili susutan 17% berbanding RM65.6 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, disebabkan permintaan produk farmaseutikal lebih rendah dalam pasaran eksport.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, jualan produk farmaseutikal pasaran tempatan menyaksikan sedikit penurunan, tetapi sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan permintaan dalam pasaran eksport.

 

Untung bersih kumpulan pada tempoh tersebut mencecah kira-kira RM11 juta, lebih rendah sedikit berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas iaitu RM11.6 juta.

 

“Keuntungan selepas margin cukai merosot daripada 22.8% kepada 17.24% didorong oleh peningkatan dalam perbelanjaan cukai.

 

"Peningkatan ini didorong oleh cukai pendapatan yang dikenakan ke atas keuntungan perniagaan," katanya.

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM120 juta bagi tempoh tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berbanding dengan RM111 juta untuk 6 bulan yang sama berakhir 31 Disember 2023.

 

"Bagi tempoh berakhir 31 Disember 2024, jualan produk tambahan meningkat dalam pasaran eksport tetapi sebahagiannya diimbangi oleh pengurangan permintaan dalam pasaran tempatan," katanya. 

 

Di samping itu, kumpulan tersebut mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM25.40 juta bagi tempoh berakhir 31 Disember 2024, berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM25.78 juta bagi 6 bulan yang sama berakhir 31 Disember 2023.

 

"Penurunan sedikit dalam keuntungan sebelum cukai akibat perbelanjaan pengiklanan dan promosi yang lebih tinggi, serta kerugian pertukaran asing (forex)," katanya. - DagangNews.com